RAMACHANDRAN Muniandy, suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata syarikatnya dipilih oleh kerajaan negeri Selangor untuk projek perintis perkhidmatan pengangkutan, semata-mata kerana merit dan bukannya kerana beliau berkahwin dengan seorang menteri.
Beliau berkata syarikatnya – Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) – melalui semua syarat kelayakan diperlukan untuk menjadi penyedia perkhidmatan kepada sistem Transit Responsif Permintaan Mobiliti Selangor (DRT).
Syarikat itu diberikan tempoh sembilan bulan untuk menjalankan projek itu secara percubaan sejak November tahun lalu.
Pelantikan terus Asia Mobiliti dikecam orang ramai susulan syarikat itu ada kaitan dengan Yeoh.
Ramachandran adalah pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Asia Mobiliti.
Beliau dipetik daripada Scoop hari ini, berkata masyarakat perlu melihat kepada kemampuan dan rekod Asia Mobiliti dalam menangani masalah pengangkutan awam.
“Ia seperti pengkritik berkata kami tidak peduli berapa bagus anda, kami mahu lihat siapa pasangan anda. Mereka tidak peduli sama ada kami mampu melakukan tugas ini atau tidak. Di mana logiknya?
“Apa yang kami tahu, isu sekarang adalah tentang meritokrasi. Kami sudah membuktikan kami ada kepakaran dan lesen untuk melakukannya, dan kami melalui prosesnya untuk beroperasi sebagai penyedia perkhidmatan yang selamat untuk negeri ini.
“Untuk melakukannya, kami berjaya meyakinkan pihak berkepentingan yang DRT adalah penyelesaian yang berdaya maju,” katanya.
Beliau berkata Asia Mobiliti secara konsisten mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti dalam proses membuat keputusan, malah beliau dan Yeoh sudah menjangkakan mereka akan dikritik.
“Kami tahu perkara seperti ini boleh berlaku apabila ada pihak yang cuba mengaitkannya. Jadi, kami sangat telus. Jika ada persoalan timbul, kami boleh jawab.”
Bekas pemimpin DAP P Ramasamy bagaimanapun tetap percaya peletakan jawatan Ramachandran atau Yeoh masih menjadi penyelesaian terbaik.
“Peletakan jawatan itu tidak ada kaitan dengan kemampuan atau profesionalisme Ramachandran. Apa boleh buat, kebetulan beliau adalah suami Yeoh.
“Walaupun Yeoh mengalu-alukan siasatan SPRM, namun siasatan seperti itu tidak akan mengubah hakikat yang kontrak DRT diberi secara terus kepada Asian Mobiliti atau ikatan kekeluargaan antara Ramachandran dan Yeoh.”
SPRM berkata ia menyiasat projek itu susulan menerima maklumat baharu.
Memetik sumber The New Straits Times melaporkan agensi antirasuah itu menerima aduan baharu berhubung pelantikan suami menteri untuk projek pengangkutan oleh kerajaan negeri Selangor.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Selasa berkata tiada keperluan untuk menyiasat kes itu kerana tiada jenayah dilakukan.
Beliau berkata ini kerana kontrak Inisiatif Mobiliti Selangor bukan dianugerahkan kepada syarikat itu oleh kementerian Yeoh tetapi oleh kerajaan negeri Selangor.
Bagaimanapun beliau menambah sekiranya petunjuk baharu wujud, siasatan lanjut mengenai perkara itu akan dimulakan. – 3 Jun, 2024.
Komen