Bila rumah ibadat jadi sarang salah guna kuasa


Rumah ibadat bukan Islam diberikan tempoh hingga 30 Jun untuk memohon dana kerajaan bagi menambah baik premis mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2024.

KERAJAAN perpaduan Anwar Ibrahim memberi peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam sebagai mengesahkan komitmennya terhadap kepelbagaian beragama di negara ini.

Tahun lalu 300 gereja, kuil dan tokong menerima RM50 juta dalam bentuk geran kerajaan untuk kerja penambahbaikan.

Bagaimanapun, usaha murni kerajaan madani ini terhalang di dua rumah ibadat di Melaka yang dikenal pasti sebagai sarang salah laku, termasuk menyeleweng dana dan salah guna kuasa.

Identiti dua entiti itu tidak dapat didedahkan pada masa ini kerana masih menunggu jawapan daripada mereka.

Ia membabitkan sebuah rumah ibadat berusia 160 tahun manakala satu lagi usianya hampir seabad.

Di entiti pertama, butiran salah guna kuasa dihantar ke pihak atasan kira-kira setahun lalu, tetapi setakat ini tiada tindakan diambil.

Seorang pemberi maklumat berkongsi tentang rasa tidak puas hatinya terhadap pihak atasan rumah ibadat itu.

“Rasuah sangat berleluasa di sini. Tetapi orang ramai takut nak bercakap mengenainya, bimbang ada tindakan balas.”

Beliau berkata kira-kira RM2 juta dikutip untuk kerja pengubahsuaian rumah ibadat itu yang dilakukan tanpa perancangan teratur. Kemudian perintah berkurung dikuatkuasakan dan kerja ubah suai itu terhenti.

Tidak lama selepas itu difahamkan kerja pengubahsuaian boleh diteruskan tetapi dengan kos berganda iaitu RM4 juta.

“Ini mengarut. Kami juga mendapat tahu mereka yang ada kuasa memaksa cek kosong ditandatangani. Perkara ini sudah diberitahu kepada pihak yang bertanggungjawab tetapi tiada usaha menghentikan salah laku ini.”

Pemberi maklumat itu berkata penganut mula menjauhi rumah ibadat itu kerana tiada kesucian lagi di situ.

“Bila paderi menjerit ke arah seorang wanita tua dengan berkata ‘diam dan berambus’ kerana ditanya tentang butiran ibadat, ia adalah tanda amaran yang rumah ibadat ini sendiri perlu dipulihkan.”

Perkara yang membimbangkan itu sudah disampaikan ke pihak atasan menerusi emel. Tiada sesiapa pun membalas aduan itu.

Pemberi maklumat itu berkata ketelusan dan kebertanggungjawaban sangat diperlukan bagi memastikan reputasi rumah ibadat itu tidak tercemar.

“Kenapa saya yang perlu bersembahyang di tempat lain hanya kerana salah guna kuasa oleh paderi dan pemimpin di sini,” soalnya.

Adakah agama ‘ganti’ salah laku?

Rumah ibadat kedua sangat popular dalam kalangan masyarakat tententu, dan melakukan pengubahsuaian besar-besaran pada hujung 1990-an.

Rumah ibadat yang kelihatan mewah itu kini diterajui presiden jawatankuasa di mana penganut mendakwa ada agenda tersembunyi.

Polis tahu tentang aduan salah guna kuasa di situ tetapi berhati-hati kerana ia membabitkan rumah ibadat.

Adakah ini bermakna agama boleh membayanyi penyelewengan?

Ketua jawatankuasa rumah ibadat itu sudah diberi amaran oleh polis dan Majlis Datuk Dato’ Malaysia supaya berhenti menggunakan gelaran “Datuk”.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight individu terbabit membeli gelaran itu dengan harga RM30,000 pada 2020.

Majikan individu terbabit juga dimaklumkan tentang penipuan gelaran itu tetapi mereka hanya berdiam diri.

Pengikut rumah ibadat itu tertanya-tanya adakah wujud sistem yang boleh memastikan akauntabiliti dana diterima oleh gereja dan kuil ini.

“Tentu sia-sia untuk beri wang kepada kuil dan gereja tanpa mereka bertanggungjawab bagaimana setiap sen duit ini dibelanjakan,” kata mereka.

Rumah ibadat bukan Islam diberikan tempoh hingga 30 Jun untuk memohon dana kerajaan bagi menambah baik premis mereka.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching baru-baru ini mengingatkan tarikh akhir itu di mana permohonan secara online boleh dibuat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyokong semua agama di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, jika salah guna kuasa terus-terusan berlaku, reputasi rumah ibadat akan terjejas akibat ketamakan individu atau kumpulan mereka yang memegang kuasa. – 3 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen