SEORANG ahli Parlimen yang juga peguam berkata tidak ada “kes diselesaikan cara baik” dalam undang-undang jenayah, merujuk kepada kes serangan terhadap pemandu e-hailing pada Isnin lalu.
Hassan Karim berkata apabila laporan polis dibuat, ia dipanggil laporan maklumat pertama, atau ringkasnya FIR.
“Sebaik saja polis terima laporan itu, dan jika serangan fizikal berlaku, ia adalah kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Tugas polis untuk panggil pelaku untuk disiasat.
“Polis juga perlu menghantar mangsa ke hospital awam berhampiran untuk diperiksa kecederaannya,” katanya di Facebook.
Siasatan perlu dibuka dan polis mesti mengambil keterangan pelaku mengikut Seksyen 122 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Jika siasatan diambil lebih 24 jam, maka pelaku perlu direman mengikut Seksyen 117 CPC, dengan polis membawa suspek di hadapan majistret atau balai polis untuk mendapatkan perintah reman,” katanya.
Hassan berkata kes tidak boleh “diselesaikan” hanya kerana mangsa membuat laporan polis berkata demikian.
“Apa yang penting ialah laporan polis yang pertama sudah dibuat,” katanya.
Beliau berkata “kes diselesaikan cara baik” merujuk kepada kesalahan tort di mana mangsa tidak berniat mengambil tindakan sivil berhubung insiden itu.
“Namun, kesalahan jenayah adalah bidang kuasa polis.
“Walaupun mangsa kemudian tarik balik laporan, atau membuat laporan polis kedua berkata kes itu diselesaikan, dari sudut undang-undang, ia tidak menghentikan tindakan polis.
“Ini adalah kedudukan undang-undang di bawah kedaulatan undang-undang di Malaysia.”
Beliau berkata di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan, semua rakyat adalah sama di depan undang-undang dan tidak kiralah siapa pelakunya.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Hassan berkata di bawah Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan, setiap rakyat termasuk individu OKU dijamin kebebasannya.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata siasatan terhadap tuduhan serangan itu masih dijalankan walaupun laporan awal mengatakan kes itu “selesai” selepas mangsa dikatakan menerima RM800 daripada wakil pelaku.
Pelaku terbabit dikatakan ada kaitan dengan Tunku Mahkota Johor. – 1 Jun, 2024.
Komen