Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari


Kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui mati di Damansara Damai Disember lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 Jun, 2024.

IBU bapa kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui mati di Damansara Damai Disember lalu direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Azura Mohd Saad membenarkan reman itu dan pasangan itu akan ditahan sehingga 9 Jun ini.

Polis menahan ibu bapa Zayn yang kedua-duanya berusia 28 tahun pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan ketika mengesahkan penahanan itu berkata ia berdasarkan hasil risikan dan siasatan sejak hari pertama kejadian.

“Tangkapan itu berdasarkan risikan sejak hari kejadian sehingga kini. Penangkapan ini bagi membantu siasatan.

“Mereka direman tujuh hari, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh),” katanya dipetik.

Kes itu yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut difailkan semula sebagai kes bunuh selepas hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Mayat Zayn ditemui lebih 30 jam selepas dia dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu.

Pemeriksaan forensik mendapati terdapat kecederaan di leher dan badan Zayn. Polis percaya dia dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di anak sungai.

Pada Januari, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata polis merekodkan keterangan lebih 200 orang berhubung kes itu.

Timbalan Ketua Polis Selangor S. Sasikala Devi berkata polis masih menjalankan siasatan terhadap kes itu walaupun petunjuk telah hilang.

“Kami sedang menyiasat dan akan terus berbuat demikian. Fail masih dibuka sementara menunggu sebarang maklumat baharu,” katanya. – 1 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen