Bekas calon Pakatan di Sungai Bakap siap sedia bertanding lagi


Bekas calon PH DUN Sungai Bakap Nurhidayah Che Rose tewas pada PRN lalu dengan majoriti 1,563 undi dalam perlawanan satu lawan satu. – Gambar Facebook, 31 Mei, 2024.

BEKAS calon Pakatan Harapan (PH) yang tewas pada pilihan raya negeri (PRN) lalu di Sungai Bakap kini bersiap sedia untuk bertanding sekali lagi di kawasan itu.

Pilihan raya kecil (PRK) di kerusi itu akan diadakan susulan kematian Adun Nor Zamri Latiff daripada PAS, pada 14 Mei.

Tarikh PRK belum ditetapkan.

Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nurhidayah Che Rose bersedia untuk bertanding lagi jika beliau dicalonkan.

Pada pilihan raya pada Ogos lalu, Nurhidayah tewas kepada Nor Zamri dengan jumlah majoriti 1,563 undi dalam perlawanan satu lawan satu.

“Insya-Allah saya bersedia jika diberi peluang untuk bertanding sekali lagi mewakili PH-BN. Ia akan jadi peluang untuk saya tebus kekalahan tipis pada PRN lalu.

“Namun keputusan siapa calon PRK akan ditentukan oleh pucuk pimpinan, saya serah kepada parti dan presiden PKR (Anwar Ibrahim),” katanya ketika dipetik berkata kepada Malaysiakini.

Beliau berkata PH memberikan calon wanita untuk kerusi Sungai Bakap.

Sungai Bakap, di kawasan Parlimen Nibong Tebal adalah kerusi didominasi Melayu dengan pengundi Melayu terdiri daripada 59.4%, Cina (22.5%), India (17.4%) dan lain-lain (0.7%).

Dua kerusi DUN lain dalam Parlimen itu adalah Jawi dan Sungai Acheh dipegang PH-BN.

Kerusi Nibong Tebal dipegang Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

SPR menetapkan 6 Jun untuk membincangkan PKR Sungai Bakap.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu sudah sediakan senarai calon untuk kerusi itu.

“Kami ada calon tetapi belum memuktamadkan pilihan kerana PAS Pulau Pinang ada pertimbangan sendiri. Kami tdak mahu campur tangan kerana mereka lebih kenal dengan calon tempatan,” katanya dipetik berkata kepada New Straits Times. – 31 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen