KELUARGA yang terjejas dengan perobohan rumah di Kampung Sri Makmur, Gombak perlu membuktikan mereka penduduk asal yang layak menerima penempatan semula dan tidak menerima pampasan lain.
Sesetengah penduduk kampung pula membina khemah di kawasan itu, memutuskan untuk bertahan dengan khemah sementara mencari rumah lain.
Mereka berkata tidak diberikan masa mencukupi untuk berpindah kerana kerja perobohan dilakukan tidak lama selepas notis pengosongan rumah diberikan.
Kira-kira 130 rumah dirobohkan oleh pihak berkuasa pada Isnin.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihak berkuasa sedia mempertimbangkan bantuan untuk keluarga terbabit, kerana ia tanggungjawab kerajaan negeri.
“Kita bersedia melihat balik apa boleh dibantu, tetapi bukanlah saya janji okey baik saya ganti tetapi kita cakap kena buktikan mereka penduduk asal yang wajar dapat penempatan dan tidak dapat pampasan lain.
“Itu antara syarat kita letakkan, jadi sesetengah mereka prasyarat itu tidak dipenuhi jadi ditolak. Bukannya kesilapan kita, tapi yang 21 penduduk yang dapat itu penuhi syarat. Alhamdullilah kita beri pampasan,” katanya dipetik dari Bernama.
Sebelum ini, media melaporkan hanya 21 daripada 153 buah keluarga di kampung itu yang terlibat dalam kerja-kerja perobohan kediaman mendapat pampasan RM1,000 serta penempatan semula di Rumah Selangorku.
Amirudin berkata banyak peluang sudah diberikan kepada penduduk kampung itu bermula kira-kira dua atau tiga tahun lalu.
“Kita beri peluang agak lama dari dua atau tiga tahun lepas termasuk rayuan terakhir selepas hari raya dan kita penuhi.
“Ada permintaan untuk melihat lagi tujuh, lapan orang dan kita berikan mereka peluang untuk buktikan beberapa syarat yang ditetapkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), tetapi selebih itu tak dapat buktikan,” katanya.
Beliau berkata antara sebab tindakan itu dilakukan ialah terlalu banyak warga asing di kawasan tersebut.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu kenyataan semalam berkata isu di kawasan itu bermula Julai 2006 dengan operasi perobohan dilaksanakan terhadap sebahagian unit rumah, namun bancian pada 2016 mendapati jumlah rumah meningkat 204 unit berbanding 80 pada 2006.
PKNS berkata tanah di kampung itu dijual kepada sebuah syarikat pada 8 Septempber, 2020 dan syarikat tersebut memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu pada 14 Mei.
Kerajaan negeri Selangor juga menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan sagu hati RM1,000 kepada 21 setinggan asal, berdasarkan pengesahan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai Pejabat Daerah Daerah dan Tanah Gombak. – 31 Mei, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen