DONALD Trump didapati bersalah atas 34 pertuduhan dalam perbicaraan kes berkaitan wang haram selepas panel juri New York mensabitkannya atas semua pendakwaan.
Ini menjadikan beliau adalah bekas presiden Amerika Syarikat (AS) yang pertama disabitkan atas pertuduhan jenayah.
Panel 12 juri mendapati Trump bersalah dalam setiap 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan bayaran bernilai AS$130,000 yang bertujuan untuk menutup mulut bintang lucah, Stormy Daniels, menjelang pemilihan presiden pada 2016.
Trump meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu dan keluar dari mahkamah selepas keputusan dibacakan.
“Hak asasi saya dilanggar dengan pendakwaan bersifat politik, tidak berperlembagaan dan campur tangan pilihan raya seperti ini. Negara kita sedang ditertawakan,” katanya di platform Truth Social.
Trump dalam perlawanan untuk bergelar presiden AS bagi kali kedua. Pemilihan presiden 2024 akan diadakan pada 5 November.
Mahkamah menetapkan 11 Julai untuk menjatuhkan hukuman. – 31 Mei, 2024.
Komen