Selangor sedia dedah butiran kontrak DRT, kata MB


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri sedia dedah butiran kontrak Asia Mobiliti bagi projek DRT. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2024.

KERAJAAN negeri Selangor bersedia untuk mendedahkan butiran kontrak kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) untuk mengendalikan projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT), kata Menteri Besar Amirudin Shari.

“Kami sanggup buat begitu,” katanya dipetik berkata di Free Malaysia Today.

“Kami tiada masalah berbuat demikian kerana kami ada kebebasan maklumat,” katanya, menambah kerajaan negeri juga bersedia mendedahkan kepada umum minit mesyuarat membabitkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Gerakan persatuan sivil membangkitkan isu berkaitan keputusan kerajaan negeri memberikan projek itu kepada syarikat berkenaan di mana pengasas bersama dan CEO Ramachandran Muniandy adalah suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

CSO Platform for Reform pagi tadi berkata pembabitan ahli keluarga menteri dalam menerima kontrak kerajaan memerlukan penelitian halus susulan ia berisiko wujudnya konflik kepentingan.

Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) semalam mendesak kerajaan negeri mendedahkan butiran lengkap pelantikan Asia Mobiliti.

Asia Mobiliti adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk menunjukkan kemampuan mereka menjalankan projek itu. Satu lagi syarikat adalah is Badanbas Coach Sdn Bhd.

Semalam, jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata projek DRT tidak diberikan kepada Asia Mobiliti tetapi syarikat itu dalam proses membuktikan kemampuannya untuk melaksanakan projek itu.

Syarikat itu diberikan sembilan bulan untuk menunjukkan kemampuannya, bersama satu lagi syarikat. Tempoh sembilan bulan itu tamat pada Julai.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata tidak ada keperluan menyiasat kes itu kerana tiada kesalahan dilakukan. – 30 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen