Google labur RM9.4 bilion di Malaysia


Google akan melabur RM9.4 bilion di Malaysia untuk pusat data pertamanya dan wilayah awan Google di negara ini. – Gambar fail EPA, 30 Mei, 2024.

GOOGLE akan melabur AS$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia untuk pusat data pertamanya dan wilayah awan Google di negara ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam pengumuman hari ini berkata pelaburan itu akan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan termasuk dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan, dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion

“Pelaburan RM9.4 bilion di Malaysia itu akan memajukan dengan ketara cita-cita digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya dalam satu kenyataan.

“Pusat data Google dan wilayah Google Cloud di Kuala Lumpur akan memperkasakan industri pembuatan dan berasaskan perkhidmatan untuk memanfaatkan AI dan teknologi canggih lain untuk meningkatkan rantaian nilai global, dengan anggaran impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion.

“Kami juga mengalu-alukan rancangan Google untuk membantu membangunkan ekosistem bakat yang teguh dengan memudahkan pertumbuhan kemahiran digital, perniagaan dan kerjaya pekerja.”

Pelaburan itu susulan perbincangan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Pelaburan, dan Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google Ruth Porat. Memorandum Persefahaman turut ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Google pada 14 November, 2023.

Porat berkata pusat data pertama Google dan rantau Google Cloud ialah pelaburan terancang terbesar setakat ini di Malaysia.

“Pelaburan ini dibina atas perkongsian kami dengan kerajaan Malaysia untuk memajukan Dasar Cloud First, termasuk piawaian keselamatan siber terbaik,” katanya.

Tapak pelaburan terbaharu di Malaysia adalah di Elmina Business Park yang akan memperkasakan perkhidmatan digital Google yang popular, seperti Carian, Peta dan Ruang Kerja, sambil turut memainkan peranan penting dalam membolehkan Google menyampaikan manfaat Al kepada pengguna di seluruh negara. – 30 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen