Kumpulan desak proses pemberian kontrak diteliti


Pengasas bersama dan CEO Asia Mobiliti adalah suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. Asia Mobiliti dikatakan menerima kontrak projek DRT daripada kerajaan negeri Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2024.

KEPUTUSAN kerajaan negeri Selangor memberikan projek kepada syarikat yang ada kaitan dengan menteri Kabinet mencetuskan tanda amaran berakitan potensi konflik kepentingan, kata badan penaung kumpulan reformasi.

CSO Platform for Reform dalam satu kenyataan berkata pembabitan ahli keluarga menteri dalam menerima kontrak kerajaan memerlukan penelitian halus.

Ia merujuk kepada keputusan Selangor memberikan kontrak sembilan bulan kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) untuk mengendalikan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).

Sembilan bulan adalah tempoh untuk syarikat itu membuktikan kemampuannya mengendalikan projek berkaitan pengangkutan.

Pengasas bersama dan CEO Asia Mobiliti Ramachandran Muniandy adalah suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

“Persoalannya adalah adakah perkara ini dimaklumkan ketika proses dan diketahui oleh pasukan perolehan kerajaan negeri?

“Situasi seperti ini membimbangkan kerana proses rundingan terus digunakan untuk memberikan kontrak, melangkaui sistem tender terbuka yang direka bagi memastikan ketelusan dan keadilan,” kata CSO Platform for Reform.

Katanya, kaedah rundingan terus yang digunakan untuk memberikan kontrak projek pengangkutan Selangor kepada Asia Mobiliti dilihat sebagai melanggar janji reformasi yang dibuat kerajaan perpaduan.

“Ini amat merisaukan memandangkan komitmen kerajaan dan janji Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari awal pentadbirannya untuk menghentikan rundingan terus perolehan kerajaan, yang sepatutnya menganjurkan keterbukaan dan persaingan dalam pemberian kontrak,” katanya.

CSO Platform for Reform mengesyorkan pematuhan ketat dengan peraturan perolehan dikuatkuasakan dan kerajaan negeri Selangor perlu mendedahkan semua butiran kepada awam berkaitan proses pemberian kontrak.

Ia juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memulakan siasatan bebas.

Semalam, jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata projek DRT tidak diberikan kepada Asia Mobiliti tetapi syarikat itu dalam proses membuktikan kemampuannya untuk melaksanakan projek itu.

Syarikat itu diberikan sembilan bulan untuk menunjukkan kemampuannya, bersama satu lagi syarikat. Tempoh sembilan bulan itu tamat pada Julai. – 30 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen