Kes lelaki OKU diserang pengawal peribadi VIP selesai secara baik


Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima satu lagi laporan daripada pengadu malam semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2024.

POLIS hari ini mengesahkan insiden yang melibatkan pengawal peribadi Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana didakwa menyerang seorang lelaki kurang upaya (OKU) semalam di sebuah hotel sudah diselesaikan secara baik.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima satu lagi laporan daripada pengadu malam semalam.

“Pada jam 9.59 malam semalam, pengadu membuat laporan polis kedua menyatakan dia telah menyelesaikan perkara itu secara baik dan tidak mahu memanjangkan kes,” katanya dalam satu kenyataan media.

Rusdi dalam kenyataan sama berkata Polis Kuala Lumpur menerima laporan polis pertama semalam pada jam 1 petang daripada pengadu yang merupakan pemandu Grab.

Laporan polis pertama yang dilihat oleh The Malaysian Insight berkata pengawal peribadi itu didakwa memukul pemandu OKU dan mengarahkannya mengalihkan kenderaan yang menunggu di lobi sebuah hotel lima bintang tidak jauh dari KL Sentral.

Dilaporkan lelaki OKU itu mengambil empat penumpang di hotel berkenaan sebelum salah seorang pengawal peribadi mengetuk pintu keretanya dan menyerangnya.

Lelaki OKU berusia 46 tahun itu mengalami kecederaan tisu lembut dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara ini.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambah Rusdi. – 29 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen