KES semasa bagi penyakit serangan jantung, strok dan darah beku tidak ada kaitan dengan vaksin AstraZeneca, kata bekas ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau yang memegang jawatan itu ketika pandemik Covid-19, berkata tidak ada program vaksinasi terbaru menggunakan vaksin AstraZeneca dan ia juga tidak digunakan untuk suntikan dos penggalak.
“Serangan jantung, strok dan darah beku yang berlaku sekarang disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolestrol dan diabetes,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau berkata kesan sampingan yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca termasuk darah beku atau vaksin Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT).
“Ia adalah penyakit di mana darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksinasi,” katanya.
Beliau meminta orang ramai supaya jangan bimbang kerana vaksinasi terakhir AstraZeneca berlalu bertahun lamanya.
Katanya, kes mahkamah yang diwar-warkan adalah kes yang berlaku di United Kingdom sewaktu pandemik Covid-19.
Ia bukan berdasarkan kes yang berlaku baru-baru ini, katanya.
Beliau meminta orang awal membezakan antara kesan samping darah beku (VITT) dengan masalah pembekuan darah yang lain.
“Kriteria diagnosa VITT mestilah ianya berlaku dalam sela masa 4 minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah.
“Diagnos tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan,” katanya.
Kita perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan dan kekeliruan di kalangan masyarakat.
Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia pada waktu itu menerima laporan VITT boleh berlaku dalam sela masa 4 hari hingga 4 minggu selepas vaksinasi.
Bagaimanapun, katanya vaksin ini masih perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi, dan ketika itu stok vaksin tidak mencukupi waktu itu.
Beliau berkata golongan berisiko tinggi adalah golongan yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AstraZeneca.
Katanya, KKM juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi bagi tidak menerima vaksin jenis ini, dan juga bagi pengesanan awal sekiranya kesan sampingan ini berlaku AEFI.
Dr Noor Hisham berkata insiden kesan samping darah beku (VITT) juga sangat rendah iaitu empat kes berlaku dalam satu setiap juta suntikan.
“Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan Covid-19 itu sendiri, ia lebih selamat.
“Selepas jangkitan Covid-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia adalah setinggi 165 000 kes dalam 1 juta jangkitan. Insiden darah beku di kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1,800 kes dalam sejuta perokok.
“Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” katanya.
Semalam Dr Noor Hisham mengakui kerajaan tahu tentang kesan sampingan vaksin AstraZeneca ketika suntikan diberikan. – 28 Mei, 2024.
Komen