Permohonan subsidi diesel Budi Madani kini dibuka


Semua pemohon bantuan Budi Madani akan menerima bantuan kewangan RM200 sebulan sebagai sebahagian daripada program subsidi yang disasarkan untuk diesel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2024.

PERMOHONAN Program Bantuan Subsidi Budi Madani (Budi) dibuka hari ini kepada pemilik diesel persendirian individu dan juga kepada petani kecil serta petani kebun kecil komoditi di Semenanjung Malaysia.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata semua penerima yang layak akan menerima bantuan kewangan RM200 sebulan sebagai sebahagian daripada program subsidi yang disasarkan untuk diesel.

“Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk pekebun kecil boleh memohon Budi yang dibuka mulai 28 Mei 2024,” katanya.

Mereka yang memohon untuk kategori Budi individu mesti memenuhi kriteria berikut:

- Warganegara Malaysia
- Memiliki kenderaan diesel yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kecuali kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun
- Kenderaan mempunyai cukai jalan yang sah dan aktif
- Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah

Permohonan itu akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menolak kenderaan mewah berusia kurang daripada 10 tahun dan berpendapatan dalam kumpulan pendapatan T20.

Pekebun kecil yang ingin menerima subsidi hendaklah memenuhi kelayakan berikut:

- Pemohon mestilah berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil komoditi dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

- Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif, dengan takrifan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 sehingga RM300,000.

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh memohon melalui kategori Budi individu manakala pekebun kecil perlu mendaftar di https://budimadani.gov.my sebelum membuat permohonan.

Permohonan yang diluluskan sebelum 3 Jun akan menerima bayaran pertama Budi Madani pada pertengahan Jun dan bayaran seterusnya akan dibuat setiap bulan.

“Mereka yang memohon lewat daripada 3 Jun akan menerima bayaran pertama mereka dalam dua minggu dan seterusnya setiap bulan.

“Pembayaran akan dipindahkan ke akaun bank pilihan anda, atau secara tunai daripada mana-mana cawangan BSN bagi pemohon yang berjaya tanpa akaun bank,” kata MoF.

Maklumat lanjut boleh didapati di semua pejabat LHDN di Semenanjung Malaysia manakala pertanyaan boleh dibuat di talian bantuan Budi Madani: 1-800-88-2747, 03-8882 4565, 03-88824566, atau e-mel [email protected]

Pada 21 Mei Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Putrajaya bersetuju untuk melaksanakan subsidi bersasar ke atas diesel di Semenanjung Malaysia bertujuan untuk menarik balik subsidi diesel daripada kumpulan T20 dan 3.5 juta warga asing di Malaysia.

Langkah ini dijangka dapat menjimatkan RM4 bilion kerajaan setahun.

Anwar menambah sasaran subsidi diesel tidak akan menjejaskan kumpulan B40 dan M40 dan Sabah dan Sarawak. – 28 Mei 2024


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen