Pengkhianatan terhadap orang utan


Orang utan Borneo dan orang utan Sumatera disenaraikan sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2024.

AHLI politik Malaysia nampaknya mengambil mudah isu orang utan.

Pada 2022 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dikecam teruk selepas beliau mengeluarkan kenyataan orang utan lebih berkemungkinan untuk membunuh manusia berbanding sebaliknya.

“Di Malaysia, jika kita jumpa orang utan, orang utan itu akan bunuh kita dulu, bukan kita bunuh orang utan itu, betul tak?” katanya menerusi satu video yang tular di media sosial.

Menteri itu berkongsi pengalamannya semasa beliau mengadakan lawatan ke Arab Saudi dan dimaklumkan buku sekolah di sana memberi penerangan yang buruk mengenai industri minyak sawit kerana mengancam nyawa orang utan.

Bagi mengatasi serangan terhadap industri minyak sawit Malaysia, Zuraida berkata jika manusia ingin melihat orang utan, haiwan itu akan membunuh manusia terlebih dahulu.

Kini seorang lagi Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani membuat cadangan aneh untuk menghantar orang utan sebagai hadiah kepada negara yang membeli minyak sawit Malaysia dalam usaha untuk menunjukkan negara ini sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti.

Cadangan Johari didorong oleh peraturan penting Kesatuan Eropah yang menghendaki syarikat menjual barangan berkaitan penebangan hutan di Eropah untuk membuktikan produk tersebut tidak diperoleh daripada tanah yang ditebang atau dikaitkan dengan degradasi hutan.

“Dengan memperkenalkan ‘diplomasi orang utan’, ia secara langsung membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti.

“Ia merupakan satu strategi diplomasi di mana kita akan menjadikannya hadiah kepada rakan dagangan serta hubungan negara luar terutama di negara pengimport Utama seperti Kesatuan Eropah, India dan China,” katanya dalam hantaran di laman X selepas merasmikan Forum Biodiversiti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia

Idea Johari membuatkan Pengarah Eksekutif Orangutan Land Trust yang berpangkalan di Britain, Michelle Desilets terkejut.

“Ia mengarut. Malaysia Barat tidak mempunyai hak untuk bercakap mengenai orang utan yang hanya tinggal di Sarawak dan Sabah selain Kalimantan serta Sumatera di Indonesia.

“Diplomasi sebenar boleh ditunjukkan dengan memastikan pembeli global bahawa minyak sawit Malaysia sememangnya mampan dan bebas penebangan hutan serta mereka serius tentang pemuliharaan orang utan di situ,” kata Michelle kepada Straits Times.

Orang utan Borneo dan orang utan Sumatera disenaraikan sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

Dipercayai 100 tahun lalu terdapat lebih daripada 230,000 orang utan tetapi populasi orang utan Borneo dianggarkan kira-kira 104,700 manakala orang utan Sumatera dianggarkan berjumlah kira-kira 7,500, menurut kumpulan pemuliharaan WWF.

Penanaman kelapa sawit dikenal pasti sebagai salah satu punca terbesar populasi orang utan yang semakin berkurangan.

Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia. Mereka menyumbang 85% daripada produk minyak sawit dunia.

Pengerusi Bursa Malaysia Abdul Wahid Omar dalam memetik laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Januari 2024 berkata eksport minyak sawit diunjur berkembang sebanyak 3.3% mencecah 15.60 juta tan pada 2024 daripada 15.10 juta tan pada 2023.

Abdul Wahid berkata minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia diunjurkan bernilai kira-kira RM110 bilion (S$31.5 bilion) pada 2024.

Dalam kenyataan membunuh orang utan Zuraida, pejabatnya mendakwa komen menteri itu diambil di luar konteks dalam mesyuarat tertutup dan disunting untuk menggambarkannya secara negatif.

Menteri itu berkata beliau hanya menceritakan kisah Duta Besar Malaysia di Arab Saudi mengenai sentimen anti-minyak sawit.

Adakah mesyuarat peribadi membenarkan ahli politik dan menteri memberikan maklumat yang salah dan mempersendakan negara?

Dalam satu kenyataan pejabat Zuraida berkata isu orang utan dibangkitkan dalam ucapan adalah untuk mendapat perhatian agensi berkaitan mengkaji lebih lanjut habitat dan tabiat hidup spesis itu selaras dengan matlamat mampan negara untuk mempromosikan biodiversiti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (Ecomy) Andrew Sebastian menangkis kenyataan yang dibuat Zuraida dan kenyataan tidak berasasnya menjejaskan alam sekitar serta industri minyak sawit.

Kenyataan Zuraida dibuat pada seminar dan dialog Majlis Minyak Sawit Malaysia 2022 bahawa terdapat ramai orang utan di Malaysia bertentangan dengan dakwaan industri minyak sawit membunuh orang utan.

Ahli politik Malaysia seperti Zuraida dan Johari sudah dua kali memalukan negara dengan kenyataan kurang bijak mereka. – 28 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen