KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk menggunakan vaksin Covid-19 AstraZeneca walaupun tahu kesan sampingannya kerana jumlah kematian harian pada masa itu sangat membimbangkan, kata bekas ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Sebelum kita mula guna vaksin AstraZeneca, kita semak berkenaan kesan sampingannya. Pada masa itu, ada kebimbangan berkaitan potensi kesan sampingan serius disebabkan oleh vaksin itu.
“Ketika ujian klinikal, walaupun ada kebimbangan, kita berdepan 300 hingga 500 kematian sehari akibat Covid-19.
“Kebimbangan adalah minima, dengan anggaran risiko 0.004%, tetapi kes infarksi miokardium ada direkodkan.
“Kami tahu tentang kesan sampingan itu, tetapi orang awam tidak tahu, kerana rasa takut itu,” katanya pada Persidangan Mercy Malaysia hari ini, lapor New Straits Times.
Beliau diminta mengulas berkenaan pengakuan syarikat farmaseutikal AstraZeneca berkenaan kesan sampingan vaksinnya baru-baru ini.
Dr Noor Hisham berkata KKM perlu menimbangkan risiko kecil berbanding faedah lebih besar dalam membuat keputusan untuk menggunakan vaksin itu, terutama ketika tempoh puncak varian Delta semasa pandemik Covid-19.
“Kami memantau dengan rapat dan melaporkan kesan sampingan, di mana kebanyakannya adalah kesan kecil, tetapi ada beberapa yang memerlukan perhatian lanjut. Anda tidak boleh simpulkan ia berdasarkan kepada vaksin,” katanya.
Beliau berkata kesan sampingan vaksin itu dijejak menerusi Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI).
“Amat penting untuk ada bukti kukuh sebelum menyatakan komplikasi itu adalah akibat vaksin berkenaan.
“Dengan 98% daripada populasi sudah divaksin, vaksin sering disalahkan bila ada kesan sampingan buruk walaupun tanpa bukti kukuh.
“Namun, ada peningkatan ketara dalam kes infarksi miokardium pra dan pasca vaksinasi.
“Sama juga, vaksin polio. Vaksin polio juga boleh menyebabkan polio. Satu dalam sejuta. Ada risiko di situ.”
AstraZeneca mengaku dalam dokumen mahkamah yang vaksin Covid-19 itu boleh menyebabkan kesan sampingan pembekuan darah yang jarang berlaku.
Dilaporkan syarikat gergasi itu berdepan tuntutan saman yang mendakwa vaksin itu boleh menyebabkan kematian atau kecederaan serius, dengan sejumlah 51 kes difailkan di Mahkamah Tinggi United Kingdom bernilai RM595 juta. – 27 Mei, 2024.
Komen