Anwar komited pada kebebasan media, tapi perlu ada batasan isu 3R


Kerajaan akan menegakkan kebebasan media tetapi tidak akan membenarkan perbuatan menghasut berasaskan kaum, agama dan institusi diraja (3R), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2024.

KERAJAAN akan menegakkan kebebasan media tetapi tidak akan membenarkan perbuatan menghasut berasaskan kaum, agama dan institusi diraja (3R), kata Perdana Menteri Anwar Ibrhaim.

Beliau berkata sesiapa juga ada kebebasan untuk mengkritik atau tidak bersetuju dengan kerajaan tetapi mereka tidak boleh mencetuskan kebencian terhadap institusi diraja atau menganjurkan fanatisme agama.

“Saya mahu mahu menjadi perdana menteri yang menjunjung prinsip media bebas. Tetapi kita perlu ada garis panduan.

“Walaupun anda dibenarkan untuk mengkritik atau tidak bersetuju dengan perdana menteri atau kerajaan, anda tidak boleh mencetuskan kebencian kaum, terhadap institusi diraja atau menjadi fanatik agama.

“Ada insiden kontroversi baru-baru ini mengenai laporan media berhubung projek kasino yang dikatakan di Forest City, Johor yang dikaitkan secara tidak langsung dengan Yang di-Pertuan Agong. Namun tuduhan itu tidak berasas.

“Kita mahu melindungi institusi diraja. Perlu ada mekanisme untuk melindungi institusi diraja.

“Raja sebagai lambang perpaduan. Oleh itu anda tidak boleh mengheretnya dalam lumpur politik ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Kuching, Sarawak.

Beliau berkata kerajaan juga tidak akan berkompromi dengan fanatic agama kerana ia akan memusnahkan negara.

“Adakah anda terima fatwa daripada sarjana parti politik berkata Muslim tidak boleh sokong orang bukan Islam untuk diundi di negara ini? Sudah tentu anda tidak boleh. Ia akan memusnahkan negara.

“Kita tidak akan bertoleransi dengan fanatik agama kerana ia akan memecahkan asas negara ini.

“Jangan keliru isu ini dengan kebebasan media. Anda boleh gunakan media untuk beri penjelasan, tetapi anda cetuskan terlalu banyak kebencian.

“Kata umat Islam tidak boleh undi calon bukan Islam tidak boleh diterima di negara ini, dan kita tidak akan biarkan,” katanya.

Pada PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa pengundi Islam mengundi calon Perikatan Nasional yang juga seorang Muslim.

Seminggu lalu, Anwar dalam satu temubual dengan Al Jazeera, berkata kritikan terhadap kerajaan dibenarkan di Malaysia tetapi ada batasan kepada kebebasan media, khususnya berkaitan topik sensitif seperti kaum, agama dan institusi diraja.

Katanya, walaupun mengalu-alukan kebebasan media, beliau tidak menyokong tindakan yang boleh mencetuskan rusuhan atau membahayakan keselamatan awam.

“Tidak mengapa jika kita diturunkan kerana kita tegas menentang perkauman dan fanatik agama.”

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang jatuh 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lepas, dengan markah 52.07 mata.

Namun katanya di bawak pentadbirannya, kerajaan belum lagi menahan wartawan atau mengharamkan mana-mana media di negara ini kerana mengkritik kerajaan. – 27 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen