KWSP terima hampir 3 juta permohonan pindah caruman ke Akaun 3


KWSP terima 2.86 juta permohonan untuk memindahkan caruman awal daripada Akaun 2 ke Akaun 3 setakat 22 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2024.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima 2.86 juta permohonan untuk memindahkan caruman awal daripada Akaun 2 (Akaun Sejahtera) ke Akaun 3 (Akaun Fleksibel) setakat 22 Mei, membabitkan jumlah RM8.78 bilion.

Ketua Pegawai Operasi KWSP Sazaliza Zainuddin berkata sejumlah 3.04 juta permohonan pengeluaran daripada Akaun 3 diluluskan, berjumlah RM5.52 bilion.

“Kami menjangka jumlah permohonan daripada ahli memilih memindahkan jumlah awal akan terus meningkat hingga tarikh akhir 31 Ogos.

“Kami juga gembira dengan peningkatan permohonan menerusi aplikasi KWSP i-Akaun,” katanya dalam satu kenyataan.

Bermula 12 Mei hingga 31 Ogos, ahli diberi pilihan untuk memindahkan satu pertiga daripada baki simpanan dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Pindahan itu berdasarkan kepada baki dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan.

Pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat bila-bila masa untuk apa juga tujuan, dengan minimum RM50. – 27 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen