HAMPIR semua hospital awam di seluruh negara mengalami masalah kekurangan kakitangan, menurut hasil kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Kaji selidik dijalankan secara ad hoc itu mendapati hanya 5% hospital awam mempunyai tenaga kerja mencukupi.
Dalam satu kenyataan, MMA berkata hampir separuh responden berkata kekurangan kakitangan berpunca daripada doktor meletak jawatan atau dipindahkan.
Sehubungan itu, MMA mencadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan kajian yang telus dan komprehensif serta menaikkan gaji doktor supaya kompetitif dengan sektor swasta.
“Kami gesa KKM untuk menjalankan kajian komprehensif dengan keputusannya diterbitkan secara telus, berkenaan kakitangan dan beban kerja bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja.
“Kami berharap dapatan daripada kaji selidik kami dapat memberi sedikit gambar tentang keadaan hospital awam,” kata Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz.
Menurut keputusan kaji selidik itu, hanya enam responden (5%) menunjukkan mereka mempunyai tenaga kerja yang mencukupi, manakala 36 responden (32%) memerlukan tambahan sehingga 50% tenaga kerja dan 51 responden (46%) memerlukan tambahan sehingga 100%.
Sebanyak 18 respons (16%) memerlukan lebih daripada dua kali ganda bilangan doktor semasa untuk menyediakan perkhidmatan yang mencukupi. Terdapat 6 respons yang tidak pasti berapa ramai doktor yang mereka perlukan.
Kaji selidik itu dijalankan secara online menerusi Google Forms pada awal April untuk mendapatkan gambaran ringkas status semasa agihan kakitangan di hospital awam.
Kajian itu membabitkan 117 responden daripada pelbagai pusat kesihatan awam di seluruh negara.
Peserta kaji selidik adalah dari Johor (14), Kedah (13), Kuala Lumpur (7), Negeri Sembilan (9), Pahang (4), Pulau Pinang (9), Perak (10), Perlis (1), Sabah (20), Sarawak (19), Selangor (9) dan Terengganu (2).
“Kami percaya punca utama kekurangan kakitangan adalah kerana mereka terlalu penat. Berlaku peningkatan mendadak jumlah doktor meletak jawatan dan tidak menerima jawatan tetap.
“Ada kumpulan doktor yang kontraknya akan tamat bulan ini dan Julai, tetapi tiada jawapan tentang apa akan berlaku kepada mereka,” katanya. – 27 Mei, 2024.
Komen