SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melihat sebarang kaitan pemberian kontrak projek pengangkutan oleh kerajaan Selangor dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
New Straits Times melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebagai berkata syarikat itu, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), tidak menerima projek berkenaan daripada kementerian Yeoh, tetapi kerajaan negeri Selangor.
Beliau berkata setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang dalam pemberian kontrak kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu.
“Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas pihak yang dibangkitkan, ia bukanlah satu kesalahan.
“Saya tidak nampak ia ada kaitan antara kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor mempertahankan pelantikan Asia Mobility bagi Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).
Exco Selangor Ng Sze Han berkata Asia Mobility adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.
Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility ialah suami Hannah, Ramachandran Muniandy.
Semalam, Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung berkata SPRM patut campur tangan dan siasat perkara itu bagi memastikan pemberian kontrak tidak secara nepotisme.
Awal hari ini, Asia Mobility mempertahankan pembabitannya dalam projek DRT, berkata hanya dua syarikat di negara ini layak menyediakan perkhidmatan diperlukan.
Dalam kenyataannya, ia berkata pelantikan syarikat itu dibuat secara terbuka hampir setahun lalu. – 27 Mei, 2024.
Komen