MENTERI Kewangan II Amir Hamzah Azizan akan menjelaskan lebih lanjut mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel tidak lama lagi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada sidang media di Pameran Era Pasca-Normal Madani beliau hanya memberi gambaran manakala Amir Hamzah akan menjelaskan perkara itu tidak lama lagi.
“Ada yang bertanya kenapa? Tidak semua perdana menteri melakukannya. Saya beri gambaran besar dan rangka kerja, barulah ada tindakan susulan.
“Saya membezakan antara perkara dasar dan butiran,” katanya.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang juga Setiausaha Agung PN sebelum ini mengkritik Anwar kerana tidak menyatakan dengan tepat bila subsidi bahan api akan dimulakan.
Selasa lalu Kabinet bersetuju untuk melaksanakan subsidi diesel yang disasarkan, menjimatkan kerajaan sekitar RM4 bilion setahun.
Sementara itu Anwar berkata kerajaan sudah memutuskan siapa yang akan memegang jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seterusnya.
“Ia sudah dimuktamadkan. Kita mengikut proses yang sepatutnya dan kelulusan diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Jawatan pengerusi SPR kosong pada 9 Mei lalu apabila Abdul Ghani Salleh bersara selepas mencapai umur 66 tahun.
Pada 25 Mei lalu Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom berkata proses pelantikan pesuruhjaya dan pegawai SPR perlu telus.
Anwar berkata kebimbangan Azmi boleh difahami.
“Kita tidak berunding dengan timbalan pengerusi SPR (mengenai pelantikan). Kita perlu melalui proses yang sewajarnya,” tambah Anwar. – 26 Mei, 2024.
Komen