Umno pertimbang terima semula pemimpin yang disingkirkan, kata MKT


Umno sedia pertimbang untuk menerima semula pemimpin dan ahlinya yang disingkirkan sewaktu proses pemutihan selepas PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2024.

UMNO sedia pertimbang untuk menerima semula pemimpin dan ahlinya yang disingkirkan sewaktu proses pemutihan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Jalaluddin Alias berkata mereka yang disingkirkan sebelum ini tetapi masih menunjukkan kesetiaan kepada parti dan berminat menyertai semula parti akan diberikan peluang kedua.

“Ini termasuk mereka yang keahliannya ditarik balik atau dipecat daripada parti,” katanya dipetik berkata kepada The New Straits Times.

Beliau berkata di Negeri Sembilan, setiausaha Umno negeri dan bahagian diarah membuat tapisan setiap permohonan bagi memastikan mereka yang masih mempunyai kecenderungan dan kesetiaan kepada parti diambil semula sebagai ahli.

“Proses pemutihan dilakukan parti sebelum ini bertujuan membersihkan parti daripada mereka yang tidak berminat lagi dengan Umno dan beranggapan parti itu akan menjadi lemah,” katanya.

Beliau berkata proses pemutihan parti tidak menjejaskan kekuatan dan kestabilan Umno, kerana cawangan di seluruh negeri dapat mengadakan mesyuarat masing-masing mengikut jadual.

“Malah ada bahagian seperti di Jelebu yang menyaksikan pembukaan cawangan baharu sekali gus menambah jumlah ahli Umno.

“Umno sudah melalui pelbagai dugaan dan cabaran dan dilanda pelbagai masalah tetapi keistimewaan parti ini apabila dilanda masalah ia mempunyai kaedah tertentu mengatasinya,” katanya.

Jalaluddin berkata pengukuhan parti, pembangunan dan kerajaan antara usul paling banyak diterima daripada cawangan Umno yang sudah bermesyuarat.

Katanya, Umno akan mengadakan mesyuarat sebaik kesemua cawangan selesai mengadakan mesyuarat bagi meneliti usul setiap cawangan sebelum diambil tindakan.

Sejak awal tahun lalu, MKT Umno membuat keputusan memecat dan menggantung sekurang-kurangnya empat pemimpin serta ratusan ahlinya.

Ia termasuk bekas ketua Pemuda Umno yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau Khairy Jamaluddin yang dipecat keahliannya manakala Ketua Umno bahagian Sembrong Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan digantung keahliannya selama enam tahun. – 26 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen