KEPINGAN zink tercabut daripada bumbung sebuah blok pangsapuri di Bangsar ketika hujan dan ribut petang semalam, kemudiannya terjatuh menimpa beberapa kenderaan di tempat letak kereta di bawah.
Sekurang-kurangnya enam unit di Blok 94 Pangsapuri Putra Ria terjejas sementara sembilan kenderaan rosak.
Penduduk, M. Santha Kumari, 41, berkata rumahnya di tingkat 20 daripada pangsapuri yang mempunyai 22 tingkat itu, tidak terjejas tetapi cermin kereta seorang ahli keluarganya pecah.
“Saya nampak bumbung terbang dan menimpa kereta adik saya. Angin sangat kuat dan waktu itu hujan. Ada ramai kanak-kanak di rumah saya dan adik saya baru saja melahirkan bayi, jadi saya sangat bimbang,” katanya dipetik berkata kepada bernama.
Beliau bersyukur hanya harta yang rosak dan tidak ada sesiapa tercedera dalam insiden kira-kira jam 5.30 petang itu.
Abu Bakar Hasnah, 43, yang baru tiba di rumah ibunya, terkejut mendengar bunyi yang sangat kuat.
“Saya bergegas ke luar rumah dan melihat bumbung bersepai di bawah. Ia menimpa beberapa kereta di tempat letak kenderaan.
“Isteri saya sempat merakamkan video dan memuat naik di Instagram dan TikTok berkenaan insiden itu,” katanya.
Abu Bakar berkata bumbung itu mungkin berusia antara 10 dan 20 tahun.
Timbalan Pengerusi Wakil Penduduk Lembah Pantai Zon 1 Abdul Haniff Sulaiman berkata sebuah unit di tingkat 22 memerlukan perhatian segera kerana hampir keseluruhan rumah itu tidak ada bumbung.
Katanya, insiden itu yang pertama kali berlaku. Kontraktor bumbung sudah membuat penilaian dan tindakan segera perlu diambil, tambahnya.
“Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mengarahkan bilik operasi dibuka untuk penduduk terjejas membuat laporan,” katanya. – 26 Mei, 2024.
Komen