SEMUA isu berkaitan dewan bedah di Pusat Jantung Hospital Serdang yang baru dibuka selama 15 bulan, dijangka dapat diselesaikan Jun ini, kata Timbalan Pengarah Hospital Sultan Idris Shah Dr Ferwahn Fairis.
Pusat jantung itu adalah sebahagian daripada hospital utama berkenaan.
Pusat itu dibuka pada Disember 2022 dengan matlamat mengurangkan kebergantungan kepada Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
Laporan media baru-baru ini berkata semua empat dewan bedah pusat itu tidak boleh digunakan dan berdepan masalah penyelenggaraan.
Dalam satu temubual dengan The Malaysian Insight, Dr Ferwahn berkata pusat itu berdepan masalah dengan sistem kawalan suhu.
“Ini sangat perlu bagi memastikan pembedahan dapat dijalankan dengan selamat dan lancar.
“Kami sedang menyelesaikan isu itu, dan buat masa sekarang, tiga daripada empat dewan bedah itu berfungsi. Kami sedang bekerjasama dengan kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Mereka beri kita jaminan semua dewan bedah akan dapat berfungsi sepenuhnya bulan depan,” katanya.
Beliau berkata pusat jantung itu kini menguruskan pesakit, dan pada masa ini atas kapasiti 83%.
Kaanya, semua wad di pusat itu berfungsi sepenuhnya.
“Dewan bedah di pusat jantung beroperasi dengan kapasiti 83%. Masalahnya adalah khas bagi pembedahan besar di dewan bedah.
“Bagi perkhidmatan lain, kami beroperasi dengan kapasiti penuh,” katanya.

Beliau menekankan sekali lagi, masalah hanya di dewan bedah.
“Dewan bedah perlu berfungsi pada tahap kelembapan suhu tertentu bagi membolehkan hasil terbaik untuk pesakit dan pembedahan.
“Ini yang tidak dapat disediakan pada masa ini. Sistem kawalan suhu masih perlu ditetapkan supaya keadaannya ideal, dan itulah masalah utama.
“Kita sudah berhubung dengan kontraktor, dan kerja dipantau oleh JKR. Pertemuan diadakan, kerja baik pulih sedang berjalan dan tarikh akhir akan ditetapkan secepat mungkin.
“Kami harap semuanya selesai pada bulan depan,” katanya.
Beliau mengesahkan dewan bedah di bangunan utama hospital itu dalam keadaan baik dan berfungsi seperti biasa.
“Tidak tepat mengatakan kami tidak melakukan pembedahan pada masa ini. Semua empat dewan bedah di hospital utama berfungsi.
“Di pusat jantung ini, kita ada empat dewan bedah yang kami panggil makmal, dengan tiga daripadanya berfungsi.”
Media melaporkan empat dewan bedah di pusat jantung itu tidak berfungsi kerana masalah penghawa dingin.
Laporan itu, memetik sumber berkata empat dewan bedah di blok utama hospital itu juga berdepan masalah.
Sumber berkata dewan bedah di blok utama mengalami masalah cahaya, penghawa dingin dan meja selepas ditutup sejak dua atau tiga tahun lalu.
Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata tiga dewan bedah di pusat jantung itu akan beroperasi bagi kegunaan pembedahan elektif dan kecemasan pada Jun ini.
“Buat sementara itu, perkhidmatan kardiologi angiogram di PJS dan rawatan kecemasan pesakit masih berjalan seperti biasa, menggunakan fasiliti di Hospital Sultan Idris Shah,” katanya di platform X. – 26 Mei, 2024.
Komen