Pusat Jantung Serdang kendali 100 prosedur jantung setiap hari


Pusat Jantung Hospital Serdang menerima kira-kira 160,000 pesakit setahun di mana ia adalah angka terbesar di Asia Tenggara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Mei, 2024.

PUSAT Jantung Hospital Serdang (PJS) akan terus memenuhi keperluan pesakit jantung di seluruh negara walaupun berdepan beberapa cabaran di dewan bedahnya, kata Ketua Jabatan Kardiologi Dr Abdul Kahar Ghapar.

“Pusat ini menerima kira-kira 160,000 pesakit setahun di mana ia adalah angka terbesar di Asia Tenggara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Walaupun ada beberapa masalah dengan dewan bedah di kedua-dua sayap baru dan lama, majoriti intervensi dan prosedur dapat dilakukan di tujuh daripada lapan makmal kardiologi yang ada iaitu paling banyak di negara ini.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 100 prosedur sehari atau 16,000 prosedur invasive setahun,” katanya.

Beliau merujuk kepada laporan terkini berkenaan empat dewan bedah di pusat itu dan empat lagi di hospital utama, Hospital Sultan Idris Shah, tidak berfungsi.

Timbalan pengarah hospital itu Dr Ferwahn Fairis memberitahu The Malaysian Insight tiga dewan bedah di pusat itu sudah beroperasi, sementara kesemua empat dewan akan berfungsi sepenuhnya pada bulan depan.

Beliau berkata semua empat dewan bedah di blok utama hospital berfungsi seperti biasa.

Sementara itu, Dr Abdul Kahar berkata dewan bedah di pusat itu dan di hospital dapat mengendalikan hampir semua kes.

“Dengan instrument inovatif terbaru, peralatan dan solusi rawatan yang kita ada di sini, kebanyakan prosedur invasif minimum seperti angiogram, angioplasti, peranti implan seperti perentak jantung dan implant defibrilator kardioverter boleh dijalankan di makmal kardiak yang pada asalnya adalah dewan bedah mini.

“Sejumlah besar pesakit perlukan prosedur ini, bukannya pembedahan besar,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini pesakit yang keperluannya lebih terdesak akan diberikan keutamaan sementara yang lain akan dihantar ke the Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani prosedur.

Sementara itu, ketua jabatan kecemasan pusat itu, Dr Faizal Salikin berkata jabatannya (ED) dibuka 24 jam sementara pusat itu menyediakan solusi inovatif bagi membantu pesakit secepat mungkin.

Beliau memberi contoh kes seorang pesakit dari Banting daang ke ambulans selepas mengalami serangan jantung.

Pesakit itu distabilkan, menjalani angiogram dan diimplan dengan stent jantung, kemudiannya kembali ke Hospital Banting dalam tempoh beberapa jam.

ED juga dilengkapi makmal angiogram di tingkat bilik kecemasan bagi mengurangkan waktu menunggu untuk kes kecemasan, kata Dr Faizal.

Pusat Jantung serang juga menjadi tempat latihan bagi pakar dari rantau ini, dengan doktor dari Indonesia dan Nepal sedang menjalani latihan bersama pasukan tempatan pada masa ini.

Dr Kahar berkata hospital sering menerima pakar menjalani latihan sejak sekian lama memandangkan pakar jantung di Malaysia dianggap antara yang terbaik di rantau ini.

Bagaimanapun, katanya ada keperluan untuk mempunyai lebih ramai pakar.

“Pada masa ini ada kira-kira 400 pakar jantung di negara ini untuk populasi seramai 34 juta dan hanya 10% daripada pakar ini bekerja dengan Kementerian Kesihatan.

“Ini bermakna dengan sejumlah besar pesakit di hospital awam, kira-kira 70% hingga 80% pesakit di seluruh negara dirawat oleh 40 doktor.” – 26 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen