BINTANG bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo kini bapa kepada sepasang anak kembarnya yang dilahirkan menerusi kaedah ibu tumpang, lapor media Portugis semalam.
Laporan itu berkata kedua-dua bayi itu – masing-masing perempuan dan lelaki dinamakan Eva dan Mateo – dilahirkan pada Khamis oleh seorang wanita yang menetap di Pantai Barat Amerika Syarikat.
Kapten Portugal yang berjaya membawa kemenangan pasukan itu pada Euro 2016 mempunyai anak sulung lelaki bernama Cristiano Junior, lahir pada Jun 2010 – dilaporkan turut dilahirkan menerusi ibu tumpang, walaupun Ronaldo tidak pernah mengesahkan perkara itu.
Tabloid British, The Sun pada Mac melaporkan Ronaldo sedang menanti kelahiran anak kembar.
Penyerang Real Madrid berusia 32 tahun itu pada masa ini sedang bercinta dengan model Sepanyol, Georgina Rodriguez.
Dalam tempoh beberapa minggu ini, selebriti terkenal dunia George Clooney dan isterinya Amal yang juga seorang peguam hak asasi manusia turut menerima kehadiran bayi kembar mereka Ella dan Alexander. – AFP, 11 Jun, 2017.
Komen