Kerajaan tidak perkenal cukai baharu, sasar subsidi lebih adil, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak mahu memperkenal instrumen percukaian baharu, sebaliknya melakukan penyasaran subsidi lebih adil. – Gambar Facebook, 25 Mei, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak mahu memperkenal instrumen percukaian baharu, sebaliknya melakukan penyasaran subsidi lebih adil dan menepati keperluan rakyat.

Beliau berkata kumpulan berpendapatan rendah seperti nelayan, pekebun kecil dan pemandu teksi dikecualikan daripada subsidi diesel bersasar.

“Kerajaan tidak mahu perkenalkan instrumen percukaian baharu yang membebankan rakyat. Isu penyasaran subsidi diesel, diesel yang bocor ini melibatkan berbilion ringgit dinikmati orang kaya, perindustrian besar yang kerajaan masih berikan subsidi.

“Pelaksanaan penyasaran subsidi itu dikenakan kepada orang kaya, industri besar dan warga asing. Nelayan dan pekebun kecil, pemandu Grab dan teksi, semua dikecualikan… mungkin hampir sejuta rakyat dikecualikan daripada dikenakan cukai diesel,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Bercakap di Konvensyen Madani hari ini, Anwar turut menggesa semua kementerian dan jabatan menjadikan slogan madani satu konsep yang dinamik selari dengan perkembangan teknologi, digitalisasi serta kecerdasan buatan (AI) dalam membangunkan negara.

Berkenaan Persidangan Ekonomi Islam yang berlangsung pada 28 dan 29 Mei ini di Kuala Lumpur, Anwar berkata ia mengambil kira teras maqasid syariah iaitu skop lebih luas dan menyeluruh.

“Persidangan ekonomi itu akan melihat ekonomi Islam dari aspek maqasid yang lebih luas, bermakna bagaimana penyertaan rakyat, memperbaiki kesenjangan sosial, menggunakan peluang dan meneroka teknologi digital AI.

“Persidangan itu akan membawa satu pemikiran baharu yang saya anggap madani kerana ia membicarakan soal masyarakat, mencakupi semua bidang,” katanya. – 25 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen