Ahli politik perlu henti taktik menakut-nakutkan untuk alih isu penting


Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid mengecam tindakan pemimpin politik yang memilih menggunakan taktik menakut-nakutkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2024.

AHLI Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid mengecam tindakan pemimpin politik yang memilih menggunakan taktik menakut-nakutkan rakyat, bertujuan meraih kepentingan politik peribadi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Syerleena menyebut Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai salah seorang pemimpin yang terus-menerus menyerang intelektualisme di Malaysia.

“Kontroversi menyelubungi Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah contoh penting tindakan anti-intelektualisme yang sedang berlaku.

“Bila penulis kolum Malaysiakini Andrew Sia mengkritik UiTM, Dr Akmal dengan segera menggesa tindakan dikenakan terhadap Sia.

“Ini adalah contoh bagaimana pemimpin menyasarkan golongan intelek yang mencabar amalan atau dasar institusi.

“Tidak memilih untuk berdebat secara membina, respons diberikan adalah memburuk-burukkan pengkriti dan tidak menggalakkan perbincangan terbuka,” katanya.

Ahli Parlimen penggal pertama itu berkata motivasi di sebalik taktik itu adalah jelas – pemimpin ini mahu mengekalkan cengkaman kuasanya dengan mengawal naratif dan memastikan populasi hanya mengikut kata.

Katanya, rakyat yang berpendidikan, dan ada kemampuan berfikir secara kritikal, dilihat sebagai ancaman kerana mereka akan mempersoalkan sesuatu keputusan dan mendesak akauntabiliti.

“Tambahan lagi, taktik menakut-nakutkan digunakan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu penting seperti kualiti sistem pendidikan awam yang merosot, salah pengurusan ekonomi dan ketidaksamaan sosial.

“Dengan memberi penekanan kepada ancaman luaran atau perpecahan dalaman untuk mencetuskan krisis, pemimpin ini mampu meletakkan diri mereka sebagai pelindung yang diperlukan.

“Dengan cara itu dapat mengukuhkan kuasa mereka dan mengawal naratif politik, tidak kiralah betapa tidak masuk akalnya keadaan itu.

“Bila pemimpin politik merendahkan pendidikan dan intelektualisme, mereka mensabotaj masa depan negara, menghalang kita daripada mencapai potensi,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu melawan penularan maklumat salah dengan menanamkan budaya pemikiran kritikal dan mengguna pakai perbincangan dalam masyarakat kita.

Sejak akhir-akhir ini, pemimpin Umno mempertahankan status UiTM sebagai institusi Bumiputera susulan desakan untuk universiti itu membuka program pembedahan kardiotoraks untuk kaum lain.

Akmal turut menyelar Sia yang melabelkan UiTM sebagai “akademi aparteid”.

Dalam kolumnya, Sia mengkritik protes dilakukan pelajar UiTM terhadap cadangan membuka program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks untuk kaum lain.

Sia sedang disiasat polis berhubung kolumnya itu atas kesalahan dengan sengaja menghina dan membuat provokasi. – 25 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen