3 bilik pembedahan di Pusat Jantung Serdang beroperasi mulai Jun


Kontraktor memberi jaminan kerosakan dan kecacatan di Pusat Jantung Serdang akan dibaiki menjelang Jun. – Gambar Facebook, 25 Mei, 2024.

TIGA daripada empat bilik pembedahan di Pusat Jantung Serdang (PJS), Selangor akan mula beroperasi untuk kegunaan pembedahan elektif dan kecemasan pada Jun ini.

Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad di laman X hari ini.

“Buat sementara itu, perkhidmatan kardiologi angiogram di PJS dan rawatan kecemasan pesakit masih berjalan seperti biasa, menggunakan fasiliti di Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang),” katanya.

Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung Serdang yang dibuka pada Disember 2022 dilaporkan berdepan beberapa isu teknikal, termasuk masalah bekalan elektrik.

Susulan itu, mesyuarat antara kontraktor PJS dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya diadakan baru-baru ini.

Kontraktor memberi jaminan kerosakan dan kecacatan di fasiliti kesihatan itu akan dibaiki menjelang Jun.

Pada Oktober 2022, menteri kesihatan pada masa itu, Khairy Jamaluddin berkata pusat itu akan memendekkan tempoh menunggu daripada 18 bulan kepada sembilan bulan bagi kes elektif sementara kes kecemasan akan dirawat serta-merta.

Kemudahan kesihatan itu dilengkapi dengan dewan bedah hibrid – yang pertama seumpamanya di bawah Kementerian Kesihatan – dan akan memberi faedah kepada 250 pesakit setiap tahun.

Dilengkapi peralatan sofistikated, pusat itu juga membolehkan kes yang rumit dirawat di situ, katanya. – 25 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen