Pejabat di London dikaitkan dengan Daim tidak lagi ditawar untuk dijual


Pada Januari, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan isteri, Nai’mah Khalid, dituduh atas dakwaan gagal mengisytiharkan aset di bawah undang-undang anti rasuah Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2024.

SEBUAH bangunan pejabat di London yang dikaitkan dengan keluarga bekas menteri kewangan Daim Zanuddin tidak lagi ditawarkan untuk dijual, menurut laporan Bloomberg.

Bangunan di 1 Crown Court di Cheapside, kira-kira 400m dari Gereja St Paul, ditawarkan untuk dijual pada harga £28.6 juta (RM171 juta) tahun lalu, menurut dokumen dilihat Bloomberg News.

Rundingan untuk urus niaga jualan itu dengan pelabur awal tahun ini dibatalkan, menurut sumber dalaman, dan sejak itu ia tidak lagi ditawarkan untuk dijual.

Laporan itu turut menyatakanpPemfailan di Pendaftar Tanah UK menunjukkan bangunan itu milik sebuah syarikat yang berdaftar di Kepulauan Virgin British, iaitu Straits Properties Limited.

Syarikat itu milik sebuah tabung amanah di isteri Daim, adalah benefisiari, menurut laporan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) pada Januari.

Wakil keluarga itu enggan mengulas berkenaan perkara itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita bangunan dimiliki keluarga Daim di Kuala Lumpur pada Disember lalu.

Daim melabelkan siasatan SPRM terhadapnya dan keluarga adalah pemburuan bermotifkan politik.

Beliau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk menghormati undang-undang dan prosesnya.

“Saya menafikan sebarang salah laku dan rasuah membabitkan saya atau keluarga saya. Siasatan ini hanyalah bermotifkan politik,” katanya.

Daim, yang menjadi orang penting ketika pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan, mendakwa ramai yang tahu Anwar menganggapnya sebagai ancaman politik dan musuh.

Katanya, sejak awal siasatan itu, beliau memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan sering berhubung menerusi peguamnya.

Pada Januari, Daim dan isteri, Nai’mah Khalid, dituduh atas dakwaan gagal mengisytiharkan aset di bawah undang-undang anti rasuah Malaysia. Mereka mengaku tidak bersalah.

Straits Properties membeli bangunan pejabat itu pada 2014 pada harga £31.5 juta (RM189 juta), menurut pemfailan di pendaftar tanah.

Hartanah di London sekian lama menjadi tarikan bagi golongan mewah yang mencari tempat untuk menyimpan wang mereka. – 25 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen