Kumpulan gesa polis ambil tindakan segera terhadap pempengaruh Magribi


K. Kabilan

Presiden GHRF Shashi Kumar berkata beliau dimaklumkan Abdellatif Ouisa bercadang untuk keluar dari Malaysia dalam tempoh 24 jam akan datang. – Gambar fail The Vibes, 25 Mei, 2024.

KUMPULAN persatuan sivil Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) menggesa polis bertindak pantas terhadap pempengaruh Magribi Abdellatif Ouisa kerana menghina dan mengejek kepercayaan penganut bukan Islam, sebelum beliau keluar dari negara ini.

Presiden GHRF Shashi Kumar berkata beliau dimaklumkan Abdellatif bercadang untuk keluar dari Malaysia dalam tempoh 24 jam akan datang.

Abdellatif memuat naik videonya di TikTok membaca surah Al-Quran di depan patung Tuhan Muruga di Batu Caves dan di Tokong Gua Chin Swee di Genting Highlands baru-baru ini.

Beliau dikecam di media sosial susulan gesaannya supaya patung berhala dimusnahkan, tetapi pada masa sama ada juga yang menyokong cadangannya itu.

Beberapa laporan polis dibuat terhadap Abdellatif.

“Tidak ada masa untuk polis lakukan siasatan 14 hari untuk memanggilnya bagi disoal siasat. Sudah terlambat kerana beliau mungkin sudah keluar dari Malaysia.

“Saya dimaklumkan beliau bercadang keluar dari negara ini esok,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shashi berkata jika polis tidak dapat melengkapkan siasatan mereka pada masa sepatutnya, kerajaan sepatutnya mengharamkan Abdellatif dari masuk ke Malaysia lagi selepas ini.

“Beliau ancaman kepada perpaduan negara kita. Polis harus melihat perkara ini secara serius dan mengambil tindakan segera.

“Beliau tidak hormat undang-undang dan rakyat kita. Apa tujuannya membaca surah Al-Quran di depan dewa Hindu dan patung Buddha? Beliau datang ke sini hanya untuk buat kacau dan mengejek agama kami.

“Jika polis mahu, mereka boleh tahan beliau serta-merta. Tidak perlu tunggu hingga selesai siasatan,” katanya.

Beliau berkata perbuatan Abdellatif adalah bercanggah dengan isu 3R.

Beliau berkata ketua polis negara dan Kementerian Pelancongan perlu mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan terhadap Abdellatif.

“Kerajaan perlu haramkan beliau datang ke sini lagi jika niatnya hanya untuk mencetuskan masalah,” katanya.

Menurut laporan, Abdellatiff adalah pempengaruh terkenal yang berkongsi tentang agama dan mempunyai banyak pengikut di platform media sosial termasuk TikTok, YouTube dan Instagram.

Beliau adalah ketua pegawai eksekutif di Akademi Abdeen, sebuah sekolah tahfiz Al-Quran dan penggerak jenama pakaian Islamik, Hijra Thobes.

Sementara itu, Abdellatif dalam klip yang terbaru berkata beliau tidak berniat untuk menyakiti sesiapa dengan videonya di Batu Caves.

“Sebagai Muslim, saya menyebabkan kasih sayang seperti dianjurkan Al-Quran. Saya tidak ada niat untuk menyakiti sesiapa.

“Tolonglah percaya, saya tidak tahu pun patung Muruga itu adalah tuhan untuk Hindu.

“Saya fikirkan ia tempat bersejarah di mana saya sebagai pelancong boleh merakamkan video saya.

“Saya minta maaf jika saya menyakiti sesiapa,” katanya. – 25 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen