Malaysia sedia bantu Papua New Guinea, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sedia membantu Papua New Guinea yang dilanda tanah runtuh besar semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2024.

MALAYSIA bersedia membantu Papua New Guinea yang dilanda tanah runtuh besar semalam, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Ingatan saya adalah dengan penduduk Papua New Guinea yang berdepan tragedi akibat tanah runtuh besar yang telah meragut lebih seratus nyawa di wilayah Enga.

“Malaysia sedia membantu saudara-saudara kita di Papua New Guinea,” katanya di Facebook hari ini.

Anwar berkata tindak balas kemanusiaan terhadap tragedi itu akan mencabar, kerana tanah runtuh berlaku di kawasan terpencil, pergunungan dan berceranggah.

Tanah runtuh dilaporkan melanda Kampung Kaokalam di wilayah Enga, yang terletak kira-kira 600 kilometer barat laut ibu negara Port Moresby pada kira-kira jam 3 pagi Jumaat, dengan ratusan orang dikhuatiri terbunuh.

Bagaimanapun, pihak berkuasa belum mengesahkan jumlah kematian.

Berpuluh-puluh rumah dimusnahkan oleh tanah runtuh dan menimbus keluarga hidup-hidup.

Reuters melaporkan lebih 50 rumah, kebanyakan penghuninya masih tidur ketika kejadian, tertimbus apabila tanah runtuh melanda kampung Kaokalam sekitar jam 3 pagi.

Wisma Putra hari ini berkata tiada rakyat Malaysia terlibat atau terjejas dengan kejadian itu.

Wisma Putra turut merakamkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh, serta rakyat dan kerajaan Papua New Guinea. – 25 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen