Perjuangan Malaysia untuk kekal sihat


Rakyat Malaysia perlu mementingkan kesihatan dengan bersenam dan menjaga makan berikutan jangkaan menjelang 2030, sebanyak 23.4 % golongan dewasa di negara ini gemuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2024.

MALAYSIA berada di tangga teratas carta Kajian Populasi Dunia 2023 sebagai populasi paling gemuk pada 15.6% di Asia Tenggara, diikuti Brunei pada 14.1%.

Ramai ahli politik, wakil rakyat, menteri dan timbalan menteri di negara ini yang mengalami berat badan berlebihan atau gemuk.

Mengejutkan apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim kelihatan tidak peduli dengan penampilan ahli politik dalam pentadbirannya.

Ini menjadikan rakyat Malaysia terfikir-fikir sama ada kesihatan dan kecergasan penting atau tidak bagi pemimpin kerajaan madani.

Angka amat mengerikan seperti didedahkan Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS) di mana 19.7% rakyat Malaysia mengalami obesiti.

Menjelang 2030, Malaysia dijangka mempunyai 23.4 % dewasa yang gemuk.

Turut membimbangkan adalah peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak iaitu 29.8% dengan individu berusia antara lima hingga 17 tahun berlebihan berat badan (15%) atau obesiti (14.8%).

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 melaporkan 50.1% kadar prevalen berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa (30.4% berat badan berlebihan dan 19.7% obesiti).

Sementara itu, Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) 2023 mendapati 31.3% atau 283,100 individu yang disaring mengalami berat badan berlebihan dengan BMI melebihi 25 kg/m2.

Seramai 22.2% (199,400 individu) obesiti dengan BMI lebih 30 kg/m2.

Ini bermakna lebih separuh atau 53.5% rakyat Malaysia yang disaring di bawah NHSI, mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

Angka NHSI 2023 didedahkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 29 November.

Beliau berkata NHSI diwujudkan pada Julai 2022, kira-kira 62,346 (10.6%) individu yang belum disahkan menghidap diabetes didapati mempunyai paras gula dalam darah yang tinggi dengan bacaan glukos lebih 7.8 mmol/L.

Polis gemuk

Pada Februari tahun ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid mendedahkan 3% daripada 10,000 anggota di ibu kota mempunyai BMI yang tidak sihat.

Susulan itu Allaudeen mengarahkan anggota polis yang mengalami masalah kegemukan untuk menurunkan berat badan secepat mungkin.

“Polis berdepan tugas yang memerlukan mereka mengekalkan kesihatan diri, dengan tahap kecergasan dan aktiviti sangat penting. Saya harap semua pegawai saya bebas daripada penyakit dan kekal tampil profesional dalam uniform,” katanya.

Menurunkan berat badan secepat mungkin bukan perkara baharu bagi anggota polis.

Pada 2016, pengarah pengurusan PDRM Zulkifli Abdullah dipetik sebagai berkata pasukan itu mempunyai kira-kira 11,000 anggota yang obesiti.

Zulkifli pada masa itu berkata anggota yang obesiti perlu menjalani program latihan kecergasan dinamakan “Trim N Fit” kerana pegawai gemuk berisiko untuk tidak dinaikkan pangkat atau disahkan jawatan.

Walaupun tidak dinafikan terlalu banyak makanan lazat di Malaysia, tetapi ramai yang memilih untuk memastikan mereka tidak gemuk.

Menjadi obesiti adalah pilihan, bukan paksaan. Lebih cepat rakyat Malaysia faham perkara ini, lebih baik peluang mereka untuk bebas daripada penyakit gaya hidup seperti diabetes. – 23 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen