16 rakyat Malaysia berada dalam penerbangan SIA, kata laporan


Pesawat Singapore Airlines dari London ke Singapura terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok selepas dilanda pergolakan kuat semalam.– Gambar EPA, 22 Mei, 2024.

16 rakyat Malaysia merupakan antara 211 penumpang dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari London ke Singapura yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bangkok selepas dilanda pergolakan kuat semalam.

SIA, dalam kemas kini terbaharunya pada 10.35 malam di Facebook semalam, bagaimanapun, tidak menyatakan keadaan mereka.

Pada mulanya dilaporkan seorang penumpang terbunuh manakala 30 lagi mengalami kecederaan selepas pesawat itu dilencongkan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok.

Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn dilaporkan berkata satu-satunya mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah seorang lelaki Britain berusia 73 tahun.

Terdapat juga 41 penumpang dari Singapura, United Kingdom (47), Australia (56), Kanada (2), Jerman (1), India (3), Indonesia (2), Iceland (1), Ireland (4), Israel (1), Myanmar (2), New Zealand (23), Filipina (5), Korea Selatan (1), Sepanyol (2), dan AS (4) dalam penerbangan itu.

Lapan belas individu telah dimasukkan ke hospital dan 12 sedang dirawat manakala baki penumpang dan anak kapal sedang diperiksa dan diberi rawatan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

“SIA sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan insiden ini,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia kini bekerjasama dengan rakan sekerja dan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk memberikan bantuan yang diperlukan dan pasukan SIA sedang dalam perjalanan ke Bangkok untuk memberikan sokongan lanjut.

Waris terlibat yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi talian hotline Singapore Airlines di +65 6542 3311 (Singapura), 1800-845-313 (Australia), dan 080-0066-8194 (United Kingdom). – 22 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen