Dr Mahathir tidak diberi notis prosiding RCI Batu Puteh hari ini


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau tidak diberi notis berkenaan prosiding RCI berkenaan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diadakan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2024.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau tidak diberi notis berkenaan prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diadakan hari ini.

Dalam satu kenyataan, Dr Mahathir berkata prosiding itu diadakan secara tertutup sedangkan perlu untuk beliau atau peguamnya menghadirinya.

“Bagaimana saya mahu menerangkan, memberi penjelasan atau mempertahan diri jika saya atau peguam saya tidak dibenarkan hadir sepanjang prosiding itu berlangsung,” katanya sambil memetik Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Beliau berkata apabila peguamnya mendapat tahu mengenai prosiding RCI itu mereka cuba menghadirkan diri dan mengemukakan beberapa permohonan dan bantahan tetapi ia ditolak prosiding diteruskan secara tertutup.

Dr Mahathir turut mempersoalkan mengapa prosiding itu diadakan secara rahsia sedangkan penubuhan RCI itu dimaklumkan kepada umum.

Beliau turut memohon hak untuk saya dan/atau peguam hadir sepanjang prosiding RCI tersebut, serta memohon penarikan diri Penerusi RCI Md Raus Bin Sharif, Pesuruhjaya RCI Dr Baljit Singh Sidhu dan Mohammed Ridha Abdul Kadir kerana wujudnya konflik kepentingan.

“Ada beberapa lagi permohonan yang dibuat yang akan saya perincikan kemudian nanti.”

Pada 2008Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia dan Tubir Selatan menjadi hak kepada negara perairannya berada.

Malaysia memohon kepada ICJ supaya mentafsirkan penghakiman pada 2017.

Pada 2018, pentadbiran Pakatan Harapan yang dipimpin Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh. – 21 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen