Kerajaan hasrat bantu bayi naik motosikal dengan alat pernafasan


Gambar ibu mendukung bayinya yang mengalami masalah paru-paru serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal ditunggang bapa bayi itu ke hospital, tular baru-baru ini. – Gambar Facebook, 21 Mei, 2024.

GAMBAR sebuah keluarga memaparkan ibu mendukung bayinya berusia 11 bulan yang mengalami masalah paru-paru serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal ditunggang bapa bayi itu ke hospital yang tular baru-baru ini mendapat perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Setiausaha politik perdana menteri Ahmad Farhan Fauzi memohon orang ramai menyalurkan maklumat berkenaan keluarga itu menerusi ruangan komen Facebook miliknya agar pihak beliau dapat menghubungi keluarga terbabit.

“Hal ini mendapat perhatian Anwar dan insya-Allah pihak kami akan membantu keluarga ini dalam menambah baik kehidupan seharian mereka,” katanya dalam posting di Facebook hari ini.

Menurut pengguna Facebook Arena Motor yang berkongsi maklumat, keluarga itu tidak mempunyai kereta dan bergantung kepada motosikal untuk membawa bayi mereka yang memerlukan bantuan alat pernafasan untuk berulang-alik ke hospital.

Difahamkan pasangan itu yang berasal dari Taman Kota Nelayan, Kedah menghadapi masalah kewangan dengan suami yang dikenali sebagai Azlan bekerja sebagai nelayan. – 21 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen