Masak mi segera di stesen minyak, 4 individu didenda RM500


EMPAT individu termasuk pembantu klinik gigi dan ejen hartanah, masing-masing didenda RM500 di Mahkamah Majistret Bentong hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan membahayakan keselamatan awam.

Media melaporkan Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, 24, Nurfatin Irdina Shahrulnizam, 24, Nur Anis Salleh, 24, dan Nur Azira Azman, 23, didakwa memasak menggunakan dapur gas di dalam kawasan stesen minyak Petron Taman Cendawan dekat Genting Highlands pada 1.30 pagi, 12 Mei.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwa berkata tindakan memasak mi segera di kawasan stesen minyak yang mudah terbakar adalah perbuatan cuai dan membahayakan keselamatan orang lain.

Majistret Nadhratun Naeiem Zainan menjatuhkan hukuman denda selepas semua tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah.

Video insiden itu tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu memasak mi segera di kawasan sebuah stesen minyak di Genting Highlands. – 21 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen