Kami terima kritikan tetapi jauhi isu 3R, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui terdapat sempadan kepada kebebasan media, khususnya mengenai topik sensitif kaum, agama dan raja (3R). – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2024.

WALAUPUN kritikan terhadap kerajaan dibenarkan di Malaysia, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui terdapat sempadan kepada kebebasan media, khususnya mengenai topik sensitif kaum, agama dan raja (3R), lapor Bernama.

Bercakap dalam temu bual dengan Al Jazeera, Anwar berkata semasa memperjuangkan kebebasan media, beliau pastinya tidak membenarkan tindakan yang boleh mencetuskan rusuhan atau membahayakan keselamatan awam.

“Tidak kisahlah sama ada kita diturunkan (kedudukan dalam indeks kebebasan media), tetapi apa yang penting ialah kritikan dibenarkan…isunya ialah apabila anda menyentuh isu 3R, mengutuk kaum, agama, mengajak dan menghasut melakukan rusuhan, kita tidak boleh ada perkara itu dalam negara kami,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia, mencatatkan penurunan ketara sebanyak 34 tempat daripada 73 kepada 107 dalam tempoh setahun.

Namun begitu, beliau berkata di bawah pentadbirannya, kerajaan tidak menahan mana-mana wartawan atau mengharamkan mana-mana akhbar di negara ini kerana kritikan mereka terhadap kerajaan.

Mengenai dakwaan yang mencadangkan penglibatan Yang di-Pertuan Agong dalam cadangan penubuhan kasino di Johor misalnya, Anwar berkata kerajaannya tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyentuh institusi raja-raja Melayu kerana ia boleh memberi kesan ketara kepada sentimen orang ramai, yang berpotensi mewujudkan suasana tidak sihat.

“Pertamanya, kerana ia suatu fitnah dan keduanya, anda menyentuh Perlembagaan (Persekutuan)...Ia secara faktanya salah…tidak ada sebarang cadangan untuk membuka kasino baharu,” katanya

Sebelum ini, Anwar juga menafikan laporan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan lesen kasino untuk memulihkan Forest City di Johor.

Ketika ditanya mengenai kritikan yang menunjukkan kelembapan dalam usaha reformasi ekonomi dan demokrasi kerajaannya, di samping penyiasatan kes rasuah berprofil tinggi sejak memegang jawatan, Anwar berkata bahawa cubaan untuk membetulkan keterlaluan berdekad-dekad hanya dalam tempoh satu setengah tahun memegang jawatan dianggap sebagai tidak boleh diterima.

“Kita telah melihat usaha yang sama sebelum ini, walaupun pada pengalaman Eropah Timur, di mana negara yang anda kenali, bersikap gung ho mengenai reformasi pantas yang mendatangkan bencana kepada ekonomi dan persediaan politik. Dalam kes kami, bertentangan dengan penerapan atau dakwaan oleh pihak pembangkang, perkara yang paling penting ialah tadbir urus.

“Apa yang kami berjaya lakukan adalah untuk memeriksa penyalahgunaan (kuasa) oleh pemimpin, anggota Kabinet daripada membazirkan kekayaan melalui rundingan terus, melalui tender berjumlah berbilion-bilion. Kami telah hentikannya,” katanya. – 21 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen