Keputusan kes batal pengislaman perkukuh mahkamah syariah


AMANAH Wilayah Persekutuan menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang mengiktiraf peranan mahkamah syariah sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan mahkamah syariah serta perundangan Islam dalam sistem kehakiman negara.

Dalam penghakiman kes pengisytiharan keluar Islam yang difailkan oleh seorang wanita yang mahu membatalkan pengislamannya ketika waktu kanak-kanak, Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 2-1 mengesahkan hanya mahkamah syariah sahaja yang mempunyai bidang kuasa eksklusif untik memutuskan perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam dan ia perlu dihormati dan dipatuhi oleh perayu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais juga mengesahkan bahawa kedudukan mahkamah syariah adalah setara dengan mahkamah sivil dan ia tidaklah lebih rendah berbanding mahkamah sivil.

Ini bertepatan dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf pengasingan mahkamah sivil dan mahkamah syariah serta bidang kuasa eksklusif yang ada padanya. Keputusan ini turut disokong oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim.

Keputusan ini secara langsung menolak pandangan sinis sesetengah pihak yang mengatakan kononnya Islam terancam dan kedudukan perundangan Islam serta mahkamah syariah tidak dihormati di bawah pentadbiran kerajaan madani.

Ternyata pandangan tersebut meleset sama sekali dan hanyalah polemik kosong yang sengaja didendangkan tanpa henti oleh pihak pembangkang.

Malah, kerajaan sedang dalam usaha yang gigih dan mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk meminda Akta 355 bagi mengukuhkan lagi kedudukan, pentadbiran dan bidang kuasa mahkamah syariah di negeri-negeri; sesuatu yang tidak pernah disentuh pun oleh Perikatan Nasional sewaktu 33 bulan mereka menjadi kerajaan.

Amanah berharap usaha murni kerajaan di bawah menteri agama ini dapat direalisasikan secepat mungkin demi mengukuhkan lagi mahkamah s\Syariah dan memartabatkan perundangan Islam di negara ini. – 20 Mei, 2024.

* Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi adalah naib pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen