Warga Singapura antara 7 ditahan reman kes serangan balai polis Ulu Tiram


Dalam serangan pada 2.45 pagi itu, suspek menyerang balai polis Ulu Tiram menyebabkan dua anggota polis terkorban, dan seorang cedera. – Gambar Facebook, 18 Mei, 2024.

TUJUH individu termasuk seorang warga Singapura yang ditahan pada Jumaat berhubung ke serangan di balai polis Ulu Tiram direman selama tujuh hari.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin membenarkan perintah reman itu berkuatkuasa hari ini hingga 24 Mei.

Perintah reman yang dikenakan terhadap tujuh suspek berusia antara 19 hingga 62 tahun itu dikeluarkan di ibu pejabat polis daerah Seri Alam.

Antara yang direman adalah lima ahli keluarga suspek dan dua pelajar dari institusi pengajian tinggi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.

Semua individu terbabit kecuali warga Singapura itu diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Zahier Rosli, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon dan Sulaiman Zamani.

Dalam serangan pada 2.45 pagi Jumaat itu, dua mangsa disahkan mati.

Anggota polis yang terkorban adalah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24.

Anggota polis yang cedera, Koperal Mohd Hasif Roslan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan suspek adalah anggota kumpulan JI.

Jemaah Islamiyah adalah kumpulan militan berpangkalan di Indonesia, diasaskan oleh Abu Bakar Bashir pada awal 1990-an.

Kumpulan itu dikatakan ada kaitan dengan al-Qaeda dan bertanggungjawab atas insiden serangan bom di Bali pada 2002. – 18 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen