Penyerang balai polis Ulu Tiram bertindak sendirian, kata menteri


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail suspek insiden serangan di balai polis Ulu Tiram adalah seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun yang bertindak sendirian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2024.

SUSPEK tunggal yang ditembak mati dalam insiden tembakan di balai polis Ulu Tiram adalah seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun yang bertindak sendirian, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

“Berdasarkan kepada siasatan terhadap lebih 40 individu dan pemeriksaan di rumah suspek, lelaki itu bertindak seorang diri.

“Siasatan polis bermula sebaik saja lepas insiden itu, tanpa lengah termasuk memeriksa profil atau pangkalan data polis berkenaan insiden hampir sama.

“Oleh itu kami memanggil 46 individu untuk membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kami mendapati penyerang bertindak sedirian. Ini adalah serangan secara seorang diri,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis.

Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota polis yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Serbuan dijalankan di rumah penyerang di Ulu Tiram. Ia membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berusia antara 19 hingga 62 tahun, sementara dua pelajar institusi pengajian tinggi turut ditahan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan suspek adalah anggota kumpulan JI.

Jemaah Islamiyah adalah kumpulan militan berpangkalan di Indonesia, diasaskan oleh Abu Bakar Bashir pada awal 1990-an. – 18 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen