INDIVIDU yang menyerbu balai polis Ulu Tiram dan menyebabkan dua anggot terbunuh sementara seorang lagi cedera, dikatakan hidup terasing, sama seperti keluarganya yang memilih untuk tinggal jauh daripada penduduk lain, kata laporan.
Lelaki yang ditembak mati itu tinggal di kawasan persendirian di Kampung Sungai Tiram.
Tinjauan di rumah keluarga itu yang terletak kira-kira 7km dari balai polis itu mendapati rumah berkenaan berada dalam kawasan kampung bersama 10 rumah lain.
Lokasi perkampungan itu berhampiran dengan Madrasah Luqmanul Hakim, yang dikatakan sering dikunjungi kumpulan ekstrem Jemaah Islamiyah (JI) satu ketika dulu.
Seorang penduduk yang ditemui, Fauzi Faizal, 39, berkata suspek yang difahamkan mempunyai empat adik beradik, tidak ke sekolah dan menerima pendidikan daripada bapanya yang juga ahli Jemaah Islamiyah.
“Dipercayai adik beradik suspek juga tidak menerima pendidikan formal dan diajar bapa mereka, kemungkinan ajaran yang ekstremis,” katanya dipetik berkata kepada Bernama.
Fauzi yang juga ahli majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru zon Tiram berkata perkampungan itu dipercayai wujud sejak lebih 20 tahun dan didiami beberapa keluarga lain.
Beliau berkata penduduk di perkampungan itu juga tidak bergaul dengan penduduk kampung lain.
“Penduduk risau, terkejut kerana ada ‘pembunuh’ dalam kalangan mereka, tetapi kami yakin polis akan mengekalkan ketenteraman bagi mengelak insiden berulang lagi,” katanya.
Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.
Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota polis yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.
Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.
Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan suspek adalah anggota kumpulan JI.
Jemaah Islamiyah adalah kumpulan militan berpangkalan di Indonesia, diasaskan oleh Abu Bakar Bashir pada awal 1990-an.
Kumpulan itu dikatakan ada kaitan dengan al-Qaeda dan bertanggungjawab atas insiden serangan bom di Bali pada 2002. – 18 Mei, 2024.
Komen