MENDIANG Karpal Singh Deo tentu akan menyokong kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) jika beliau masih ada lagi pada hari ini, demi kestabilan negara, kata anak sulungnya.
Bercakap sempena ulang tahun ke-10 kematian bapanya, Jagdeep Singh Deo, 53, bercerita tentang legasi yang dtinggalkan Karpal, atau lebih popular dengan gelaran Harimau Jelutong.
Sebagai sebahagian daripada menyambut ulang tahun kematian itu, satu program walkaton akan diadakan menyelusuri jalan Karpal Singh Drive, selain forum akan turut dijalankan.
Karpal meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada April 2014 ketika dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang, kampung halamannya dan kawasan politiknya selama empat dekad.
Jagdeep, yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang II, berkata bapanya percaya tidak ada kawan atau lawan yang kekal dalam politik, tetapi hanya ada prinsip yang kekal.
“Mungkin ada rasa syak wasangka (berkenaan bekerjasama dengan Umno/BN) tetapi atas nama kestabilan, saya fikir Karpal akan sokong usaha ini. Maka, saya fikir parti (DAP) membuat keputusan yang sebaik mungkin,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Adun Datuk Keramat selama empat penggal itu, politik pada masa ini cenderung untuk berubah setiap hari kerana dinamiknya dan harapan rakyat.
Beliau berkata DAP tidak patut dilihat sebagai berkompromi dengan prinsipnya tetapi sebaliknya menjadi parti lebih besar dengan menerima bekas musuh dengan matlamat memastikan negara kembali ke laluan untuk terus berkembang, aman dan stabil.
Sebelum pilihan raya umum (PRU) 2022, yang menyaksikan Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri, dari 2018 hingga 2022 negara ini ditadbir tiga perdana menteri dan tiga perubahan Kabinet, ditambah lagi dengan tiga tahun melawan pandemik global Covid-19.
Ia menyebabkan negara ini merosot dalam pelbagai aspek, terutama daripada segi ekonomi, maka Anwar berdepan perjuangan sukar untuk menerajui negara merentasi ketidaktentuan kegawatan ekonomi global, konflik serantau dan masalah kos sara hidup.
DAP menjadi antara rakan kerjasama utama Anwar dalam berdepan semua itu.
Ketika diminta mentakrifkan legasi Karpal kepada DAP dan Pulau Pinang, Jagdeep berkata yang paling utama adalah bapanya seorang yang menyayangi keluarga dan peguam berwibawa.
“Beliau selalu suruh yang bekerja keras dalam profesion perundangan dan mengatasi semua rintangan. Saya jadi seperti sekarang adalah kerana beliau, dan keberaniannya menjadi teladan kepada keluarga.
“Kami pernah susah apatah lagi beliau pernah dipenjarakan. Kami kekal setia dengan perjuangannya.”
Karpal pernah didakwa dua kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri, di mana beliau berusaha keras supaya undang-undang itu dimansuhkan.
Beliau juga terbabit dalam banyak prosiding mahkamah dalam kes mempertahankan hak asasi manusia dan atas kapasitinya sebagai ahli politik pembangkang.
Jagdeep turut bercakap tentang betapa bapanya sayang kepada DAP, parti yang menyokong Karpal selama ini hinggalah beliau meninggal dunia.
“Parti yang paling utama. Individu di tempat kedua dan Karpal tahu itu. Parti yang utama untuknya ketika beliau pengerusi parti.”
Ini juga kerana Karpal mempunyai dua anak lelaki lagi, Gobind dan Ramkarpal yang turut mengikut jejak langkahnya menjadi ahli politik.
Dan prinsip Karpal terus dipegang dalam keluarganya apabila semua anak lelakinya mengadakan mesyuarat keluarga untuk memutuskan Ramkarpal perlu meletak jawatan sebagai timbalan menteri ketika Gobind ditawarkan menjadi menteri dalam rombakan pertama Kabinet Anwar pada Disember lalu, kata Jagdeep. – 18 Mei, 2024.
Komen