KERAJAAN mesti segera melaksanakan langkah-langkah untuk mengatasi kekurangan kakitangan kesihatan di hospital kerajaan, kata MCA hari ini.
Naib presiden parti itu Lawrence Low berkata kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan tidak boleh berdiam diri berkaitan isu kekurangan kakitangan kesihatan terutamanya doctor.
Katanya beliau membangkitkan isu ini beberapa bulan sebelum ini tetapi perkara itu tidak ditangani oleh kementerian.
“Apa yang diramalkan pada awal 2023 kini menjadi kenyataan kerana pihak berkuasa nampaknya memandang ringan perkara ini dan mengambil pendekatan acuh tak acuh terhadapnya,” kata Low dalam satu kenyataan.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini dilaporkan hospital kerajaan di seluruh negara berdepankekurangan kakitangan barisan hadapan.
Tambahnya di Hospital Serdang dewan bedahnya dilaporkan tidak dapat digunakan kerana masalah penyelenggaraan menyebabkan kira-kira 1,000 pembedahan jantung ditangguhkan.
Sementara itu di Kulim, hospital di sana meletakkan notis orang ramai akan menunggu lama untuk mendapatkan rawatan kerana kekurangan doctor.
Low berkata kementerian perlu segera menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengumpul maklumat mengenai kekurangan petugas kesihatan di seluruh negara dan mengambil pelbagai langkah proaktif untuk mengurangkan kesannya terhadap kesihatan dan kebajikan awam.
Beliau berkata langkah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menempatkan semula doktor pelatih dengan segera ke hospital daerah yang memerlukan adalah penyelesaian jangka pendek yang baik.
“Kementerian Kesihatan juga diharap akan melaksanakan langkah-langkah untuk menambah baik sistem kesihatan awam dan syarat-syarat untuk pekerja perubatan kerajaan untuk jangka sederhana dan panjang demi kebaikan rakyat,” tambah Low. – 17 Mei, 2024.
Komen