15 hingga 17 kematian sehari akibat kemalangan jalan raya, kata menteri


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata 600,000 kemalangan jalan raya dengan lebih 6,500 kematian direkodkan tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2024.

SEBANYAK 600,000 kemalangan jalan raya dengan lebih 6,500 kematian direkodkan tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Jika dilihat kepada statistik, kadarnya adalah 15 hingga 17 kematian sehari dan ini adalah angka yang besar,” katanya kepada media selepas Sesi Libat Urus Menteri Pengangkutan Bersama Editor Media hari ini, lapor Bernama.

“Bagi setiap yang maut, kami di kementerian menganggap ia satu tragedi yang sepatutnya tidak berlaku kerana kemalangan jalan raya boleh dielakkan jika pengguna berhati-hati dan patuh peraturan,” katanya.

Loke berkata orang ramai diharapkan dapat menjadi pemandu berhemah, sentiasa peka dan berhati-hati bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Menteri berkata tiada perancangan untuk mewajibkan pemasangan “dashcam” atau kamera papan pemuka bagi semua kenderaan di negara ini.

Katanya, walaupun kementerian ada menerima beberapa cadangan mengenainya, pihaknya perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kos yang perlu ditanggung rakyat sekiranya ia diwajibkan.

“Tetapi, kita menggalakkan pemasangan dashcam terutama pada kenderaan-kenderaan daripada pengilang.

“Kalau mereka boleh pasang (dashcam) bersekali dengan kereta baharu, itu amat kita galakkan tetapi setakat ini kita belum mewajibkan lagi,” katanya. – 16 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen