.jpg)
SAYA mengikuti beberapa siri prosiding Dewan Rakyat di mana ahli parlimen negara begitu prihatin dengan orang yang membuat cubaan untuk membunuh diri. Saya sifatkan pindaan Seksyen 309 untuk membantu orang yang mempunyai masalah kesihatan mental seperti ini wajar dipuji apatah lagi orang seperti ini sering dipersalahkan namun tidak diberikan pertolongan yang sewajarnya.
Namun begitu, ada sesuatu yang tidak kena apabila seorang ahli parlimen menyatakan CIO (crisis intervention officer) perlu membuat latihan berterusan tetapi tidak menyarankan untuk memperkasakan peranan ahli psikologi yang boleh membantu mangsa seperti itu.
Kebanyakan ahli parlimen kita juga tidak menyentuh peranan ahli psikologi kerana negara kita juga tidak pernah mempunyai Akta Psikologi yang memperuntukkan seseorang mempunyai lesen untuk bergelar ahli psikologi dan mengesahkan ahli psikologi juga boleh dijadikan satu karier di Malaysia.
Hal ini menyebabkan ramai mengambil enteng tentang peranan ahli psikologi walaupun mereka mempunyai kepakaran untuk membantu orang yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Penyakit mental telah mengalami peningkatan dari 11.5% hingga 29.2% semenjak tahun 2015 malah negara dikatakan kekurangan pakar bagi mengatasi masalah kesihatan mental ini.Sejujurnya, di Malaysia karier ahli psikologi tidak diberi penekanan malah tiada undang-undang memperakui mereka sebagai profesional dalam bidang tersebut yang menyebabkan lambakan pengamal pseudo-psikologis dalam bidang ini. Apa yang merisaukan adalah mereka ini menggunakan kaedah tidak saintifik atau penipuan, atau data berat sebelah atau palsu dalam memahami atau menganalisis minda atau tingkah laku pesakit.
Walaupun ahli psikologis tertakluk bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 namun perlu diingat tiada undang-undang yang membezakan ahli psikologi sebenar atau pseudo-psikologis yang membahayakan pesakit di luar sana dengan amalan yang tiada kod etika sebenar ahli psikologi.
Jika seorang kaunselor perlu berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM), ahli psikologi tidak perlu berdaftar untuk menjadi ahli psikologi cukup jika belajar dalam subjek psikologi mereka sudah boleh menggelarkan diri mereka ‘psikologis’ walaupun tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.
Seruan untuk Akta Psikologi ini sudah lama dilaungkan oleh pakar psikologi Malaysia malah Persatuan Psikologi Malaysia antara persatuan yang lantang membawa suara ini ke hadapan namun masih tiada usaha untuk dibentangkan di Parlimen. Oleh itu, saya menggesa agar Ahli Parlimen atau penggubal undang-undang membahaskan isu ini serta-merta supaya ahli psikologi boleh menjadikan psikologi sebagai satu karier yang diperakui oleh badan profesional. – 16 Mei, 2024.
* Yuslaini Azmi, pelajar sarjana Psikologi Pendidikan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen