MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan pelepasan sementara pasport Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi membenarkan ahli Parlimen Muar itu ke Singapura dan Taiwan.
Pasportnya ditahan di mahkamah sementara rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara terhadapnya, selesai.
Syed Saddiq dikenakan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan du sebatan selepas disabitkan bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.
Beliau memfailkan pelepasan pasport sementara pada 8 mei bagi menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan kepada rakan baiknya di Singapura pada 18 Mei.
Pagi ini, panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail sebulat suara membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan itu bermula hari ini hingga 18 Jun.
“Pasport perlu dikembalikan sebelum atau pada 18 Jun,” kata hakim.
Pihak pendakwa tidak membantah pelepasan sementara pasport Syed Saddiq.
Dua lagi hakim lain adalah Mohamed Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin.
Syed Saddiq, 31, dalam afidavit sokongannya berkata beliau dijemput oleh Pejabat Ekonomi dan Budaya Taipei di Malaysia untuk melawat Taiwan dari 10 Jun hingga 15 Jun. – 15 Mei, 2024.
Komen