TABUNG Haji (TH) akan menyiasat insiden 300 jemaah rakyat Malaysia yang terkandas di Makkah selepas dipercayai diperdaya agensi pelancongan tidak bertanggungjawab yang menawarkan mereka pakej haji murah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan semalam menasihatkan semua jemaah terbabit menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi untuk mendapatkan bantuan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam di negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH,” katanya.
Beliau berkata agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
TH melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji bagi Musim Haji 1445H/2024M dan umat Islam di negara ini dinasihat menggunakan khidmat mereka.
Na’im menasihatkan umat Islam untuk hanya menggunakan perkhidmatan syarikat yang dilantik sebagai PJH oleh TH untuk menunaikan haji.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 300 bakal jemaah haji yang sudah pun tiba di Makkah, terkandas selepas agensi yang mengendalikan perjalanan mereka gagal memenuhi janji untuk memperoleh kebenaran menunaikan haji pada musim ini.
Kumpulan itu kemudian menyedari mereka terpedaya selepas mendapati agensi terbabit menggunakan visa pelancong, bukannya visa haji untuk jemaah haji. – 12 Mei, 2024.
Komen