Ada ahli MIC boikot senyap-senyap di KKB, kata sumber parti


Ravin Palanisamy

Tidak semua ahli dan akar umbi MIC berminat untuk berkempen bagi calon PH di PRK KKB walaupun mereka sebahagian daripada kerajaan perpaduan. – Gambar Facebook, 9 Mei, 2024.

KEMPEN MIC untuk calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) terjejas akibat isu dalaman, kata sumber parti.

Mereka berkata tidak semua ahli dan akar umbi yang berminat berkempen untuk PH walaupun mereka sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Katanya, sebahagian ahli kecewa dengan cara parti itu “dipergunakan” oleh kerajaan perpaduan, terutama PH – untuk kepentingan sendiri.

“Ada rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan kepimpinan pusat berhubung keputusan berkempen untuk calon DAP di KKB.

“Ada yang rasa MIC dipergunakan oleh PH, supaya kita boleh bekerja di peringkat akar umbi dan meraih sokongan masyarakat India.

“Protes ini secara senyap. Mereka tidak akan bawa isu ini ke peringkat kepimpinan pusat, untuk bantah keputusan berkempen bagi pihak kerajaan perpaduan.

“Mereka tidak akan berkempen secara aktif dan ada kemungkinan bakal mengundi calon lain atau memboikot PRK itu,” kata sumber.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima panggilan daripada Presiden MIC S.A. Vigneswaran, mengesahkan parti India itu akan memberikan sokongan kepada calon kerajaan perpaduan di KKB.

Dengan itu, Anwar menepis laporan mengatakan MIC memboikot PRK yang akan diadakan pada 11 Mei ini.

Sumber berkenaan yang enggan nama didedahkan, berkata ada ahli tidak senang dengan keputusan presiden setuju berkempen untuk kerajaan perpaduan.

Katanya, ahli berpendapat MIC patut mengambil pendirian sama seperti parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, yang memutuskan tidak berkempen untuk calon kerajaan perpaduan.

“Jika MCA boleh mengambil pendirian tidak bekerja untuk kerajaan perpaduan, kenapa MIC tidak boleh?

“MIC juga juga patut memilih untuk tidak bekerja di KKB. Itu yang ahli parti rasa.

“Nampak macam MIC tidak ada maruah langsung,” kata sumber.

MCA memutuskan tidak menyertai PRK KKB pada mesyuarat jawatankuasa pembangunan politik parti bulan lalu.

MCA berkata mereka tidak akan berkempen di PRK KKB kerana calonnya bukan daripada BN.

Sementara itu, bekas pemimpin MIC dari Selangor mengesahkan berlaku “perpecahan” dalam kem itu, berkata ada ahli memberitahunya rasa tidak puas hati mereka.

“Ya betul ada ahli tidak puas hati untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR, yang sebelum ini pernah menyerang MIC.

“Mereka beritahu saya mereka rasa tidak selesa bekerjasama dengan DAP dan PKR. Persaingan antara mereka sudah lama wujud dan tidak akan tiba-tiba hilang,” katanya.

Beliau berkata ahli yang berpecah berasakan mereka dipergunakan, hanya ketika mereka diperlukan.

“Menurut ahli yang tidak puas hati, mereka rasa MIC sudah melakukan segalanya untuk kerajaan perpaduan, tetapi tiada balasan.

“Mereka rasa MIC patut diberi jawatan menteri jika dakwaan Anwar tentang kerajaan perpaduan itu benar,” katanya.

Minggu lalu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan menyelar kerajaan perpaduan, berkata pengerusi PH mengetepikan parti tertua untuk kaum India itu walaupun MIC menyokong kerajaan semasa.

“MIC yang paling kecewa dalam kerajaan perpaduan. Semua parti (dalam BN) setuju untuk sokong Anwar dan kami jadikan dia perdana menteri.

“Tetapi mereka (PH dan Umno) ambil semua jawatan dan ketepikan MIC dan MCA,” kata bekas menteri sumber manusia itu di hadapan ratusan masyarakat India pada satu program di KKB.

Kerusi KKB kosong susulan kematian Adun Lee Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Pang Sock Tao (PH/DAP), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional/Bersatu), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas Nyau Ke Xin. – 9 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen