Pakatan yakin pengundi India di KKB tidak terpedaya gesaan boikot, kata Saifuddin


Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata pengundi India di KKB cukup bijak untuk tidak terpedaya dengan gesaan boikot PRK kawasan itu Sabtu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2024.

PENGUNDI India di Kuala Kubu Baharu (KKB) tidak akan terdepaya dengan gesaan sesetengah pihak untuk memboikot pilihan raya kecil (PRK) itu pada Sabtu ini, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Ketua setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata beliau yakin pengundi India di KKB akan memberikan sokongan penuh kepada calon PH Pang Sock Tao.

“Walaupun ada sesetengah pihak minta masyarakat India untuk kekal neutral dan tidak keluar mengundi, saya tidak rasa mereka begitu mudah terpedaya dengan umpan sebegitu.

“Saya sangat yakin pengundi India akan bertindak bijak dan tampil ke depan demi masa depan dan kesejahteraan mereka dengan mengundi wakil daripada kerajaan perpaduan pada 11 Mei,” kata Saifuddin dilaporkan berkata selepas mesyuarat dengan pemimpin masyarakat India di Hulu Selangor.

Lebih 100 pemimpin masyarakat India terdiri daripada wakil NGO, parti politik dan persatuan ibu bapa dan guru menghadiri mesyuarat itu.

Ada beberapa kumpulan berasaskan kaum India, termasuk Urimai yang diketuai bekas pemimpin DAP P Ramasamy, menggesa pengundi India di KKB tidak mengundi Pang.

Ini bagi menghantar mesej kepada kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak terus-terusan mengabaikan nasib orang India.

PRK KKB akan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional/Bersatu), Hafizah Zainuddin (PRM) dan calon bebas Nyau Ke Xin.

Ramasamy menggesa pengundi India sebaliknya memilih calon lain.

KKB terdiri daripada pengundi bercampur iaitu Melayu (53.4)%, Cina (30.5%) dan Indian (15.82%). Selebihnya adalah Orang Asli dan lain-lain.

Pengundi berdaftar di KKB seramai 40,226 dengan pengundi kaum India seramai 6,362. – 9 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen