Pemain bola diekori sebelum diserang, kata polis


Pemain bola JDT Safiq Rahim mangsa serangan ketiga apabila kenderaannya dirosakkan semalam, kata polis. – Gambar Instagram, 8 Mei, 2024.

CORAK serangan terhadap tiga pemain bola sepak negara dalam tiga insiden berasingan minggu ini ada persamaan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata siasatan polis turut mendapati serangan berlaku selang dua hari bagi setiap kes berkenaan.

“Siasatan mendapati mangsa terbabit diekori sebelum diserang.

“Penyerang juga bergerak secara berpasangan dalam semua serangan itu,” katanya dilaporkan berkata, menambah polis percaya penyerang membuat persediaan sebelum serangan.

“Mangsa pertama adalah pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid yang disamun dan dipukul pada 2 Mei, diikuti pemain kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim diserang menggunakan cecair kimia pada 5 Mei kemudian Safiq Rahim pula mangsa ketiga apabila kenderaannya dirosakkan semalam,” katanya.

Shuhaily bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada kes ini saling berkait, berkata terlalu awal untuk membuat andaian itu.

“Setakat ini dua tangkapan dibuat berkaitan kes Faisal Halim.

“Seorang suspek dibebaskan sementara seorang lagi masih direman.

“Siasatan masih dijalankan dan polis belum sahkan suspek dalam tahanan terbabit dalam kes ini,” katanya.

Berkenaan suspek yang direman itu, Shuhaily berkata individu terbabit mempunyai tujuh kesalahan lampau.

“Pemeriksaan awal mendapati suspek bekerja sendiri da nada rekod jenayah lampau antaranya rompak berkumpulan, ugutan jenayah, pemerasan, sengaja menyebabkan kecederaan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata semua kes itu akan disiasat oleh unit siasatan khas JSJ Bukit Aman. 

“Tiga kes ini berlaku dia tiga negeri berbeza – Terengganu, Selangor dan Johor.

“Memandangkan kes berlaku di negeri berbeza, kami putuskan Bukit Aman patut menyelaraskan siasatan,” katanya.

Shuhaily berkata polis turut menyiasat pelbagai semua sudut dan aspek termasuk sama ada berkait dengan serangan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebulan lepas.

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menafikan pengurusan kanan FAM menjadi sasaran susulan serangan terhadap pemain bola sepak negara itu. – 8 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen